
KUALA LUMPUR, 27 April – Tindakan tegas perlu diambil terhadap penyebaran hantaran media sosial yang menghina Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, yang disifatkan sebagai satu bentuk provokasi melampau serta tidak bertanggungjawab.
- Hantaran suntingan gambar jelik mengenai isu penternakan babi dipercayai dimuat naik oleh pemilik akaun tertentu.
- Datuk Salehuddin Saidin menyifatkan tindakan itu sebagai penghinaan serius terhadap institusi diraja.
- Perbuatan berpotensi mencetuskan ketegangan kaum dan menjejaskan keharmonian negeri jika tidak dibendung segera.
- Laporan polis di IPD Shah Alam dibuat; PDRM dan SKMM didesak bertindak segera serta mengenakan hukuman lebih tegas.
Ahli Dewan Diraja Selangor menegaskan perbuatan tersebut bukan sahaja biadab, malah boleh mengancam keharmonian masyarakat berbilang kaum di negeri ini serta menggugat institusi diraja yang menjadi payung kestabilan negara.
Kenyataan itu merujuk kepada satu hantaran di media sosial yang memaparkan suntingan gambar jelik dipercayai dimuat naik oleh pemilik akaun berkaitan isu penternakan babi di Selangor.
Ahli Dewan Diraja Selangor, Datuk Salehuddin Saidin berkata, tindakan berkenaan merupakan penghinaan serius terhadap institusi diraja dan tidak boleh dipandang ringan.
Menurut beliau, perbuatan tersebut juga berpotensi mencetuskan ketegangan dalam kalangan masyarakat sekiranya tidak dibendung segera oleh pihak berkuasa.
“Perbuatan ini jelas melampaui batas dan tidak wajar dibiarkan berterusan kerana boleh menjejaskan keharmonian negeri,” katanya.
Susulan itu, satu laporan polis telah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam bagi membolehkan siasatan dijalankan serta pelaku dikenal pasti untuk tindakan lanjut.
Beliau turut menegaskan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) perlu bertindak segera serta mengenakan hukuman lebih tegas bagi mengelakkan insiden sama berulang.