Selangor bincang usaha bendung ‘sindrom gajet’ dengan pusat asuhan

Menteri Besar Datuk Seri Amiruddin Shari dalam persidangan Dewan Negeri Selangor.

SHAH ALAM, 27 April – Kerajaan Negeri Selangor akan mengadakan pertemuan dengan pengusaha pusat asuhan bagi membincangkan isu penggunaan gajet dalam kalangan kanak-kanak.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kebimbangan terhadap sindrom gajet meningkat; pengasuh dan ibu bapa sering menggunakan gajet untuk menenangkan anak, memerlukan tindakan menyeluruh.
  • Tiada idea serius diterima daripada pengusaha pusat asuhan; isu dicadangkan dimasukkan dalam kerangka ekonomi penjagaan Selangor bawah Exco.
  • Kerajaan Negeri bekerjasama dengan MCMC melalui Kempen Internet Selamat untuk tangani ketagihan gajet, keselamatan digital dan pendidikan etika dalam talian.

Menteri Besar Datuk Seri Amiruddin Shari berkata langkah itu penting susulan kebimbangan terhadap gejala ‘sindrom gajet’ yang semakin meningkat, khususnya melibatkan kanak-kanak dan pelajar.

“Perbincangan dengan pengusaha pusat asuhan bagi menangani isu ini penting memandangkan terdapat pengusaha pusat asuhan menggunakan gajet untuk mendiamkan dan menenangkan anak-anak.  Saya tengok bukan itu sahaja, ibu bapa pun banyak yang tidak tahan dengan karenah anak-anak dan tidak mampu mengawal mereka yang akhirnya menyerahkan gajet supaya anak-anaknya tenang serta tidak agresif. Jadi, ini memerlukan tindakan yang menyeluruh di kalangan guru dan sebagainya,” katanya dalam persidangan Dewan Negeri Selangor di Shah Alam, hari ini.

Setakat ini, beliau berkata tiada pandangan atau idea diterima daripada pengusaha tadika dan pusat asuhan dalam menangani gejala ‘sindrom gajet’ secara serius.

“Saya percaya ini antara perkara yang boleh dimasukkan dalam kerangka ekonomi penjagaan Selangor di bawah Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat, Anfaal Saari,” katanya.

Selain itu, Datuk Seri Amiruddin berkata Kerajaan Negeri akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi menangani isu ketagihan gajet dalam kalangan pelajar menerusi program Kempen Internet Selamat.

“Sepanjang 2025, program berkenaan telah dilaksanakan di 811 sekolah, manakala 133 sekolah lagi sekolah dijadual pada tahun ini dalam usaha menangani isu ketagihan media sosial dalam kalangan pelajar,”katanya.

Inisiatif tersebut turut menangani isu jenayah siber seperti penipuan dalam talian yang menyebabkan kerugian jutaan ringgit kepada masyarakat.

Program ini memberi penekanan kepada keselamatan digital, termasuk perlindungan data peribadi, etika penggunaan internet dan peningkatan kefahaman risiko dalam talian.

Selain itu, pelajar juga akan dilantik sebagai ejen penyebaran maklumat bagi memupuk budaya penggunaan internet yang lebih selamat dan bertanggungjawab.

Isu kesihatan mental dan ketagihan gajet dalam kalangan pelajar terus diberi perhatian serius oleh Kerajaan Negeri Selangor dan Kementerian Pendidikan.