Prabowo rombak kabinet Indonesia, lantik menteri baharu

Presiden Indonesia, Prabowo Subianto / REUTERS

JAKARTA, 27 April – Presiden Indonesia Prabowo Subianto merombak kabinet beliau pada Isnin dengan melantik menteri serta pegawai kanan baharu sebagai langkah memperkukuh portfolio utama kerajaan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mohammad Jumhur Hidayat dilantik sebagai Menteri Alam Sekitar merangkap Ketua Agensi Kawalan Alam Sekitar, menggantikan Hanif Faisol Nurofiq.
  • Hanif Faisol Nurofiq dilantik sebagai Timbalan Menteri Penyelaras Hal Ehwal Makanan dan telah mengangkat sumpah jawatan.
  • Dudung Abdurachman dinamakan sebagai Ketua Staf Kepresidenan, manakala Muhammad Qodari dilantik sebagai Ketua Badan Komunikasi Pemerintah Bakom.

Pengerusi Konfederasi Kesatuan Sekerja Seluruh Indonesia (KSPSI), Mohammad Jumhur Hidayat dilantik sebagai Menteri Alam Sekitar merangkap Ketua Agensi Kawalan Alam Sekitar (BPLH), menggantikan Hanif Faisol Nurofiq, lapor agensi berita Antara.

Hanif Faisol Nurofiq pula dilantik sebagai Timbalan Menteri Penyelaras Hal Ehwal Makanan dan telah mengangkat sumpah jawatan pada Isnin.

Dalam pelantikan lain, bekas panglima angkatan darat Dudung Abdurachman dinamakan sebagai Ketua Staf Kepresidenan, menggantikan Muhammad Qodari yang dilantik sebagai Ketua Badan Komunikasi Pemerintah (Bakom).

Sementara itu, Abdul Kadir Karding yang merupakan bekas Menteri Perlindungan Pekerja Migran Indonesia (2024 – 2025), dilantik sebagai Ketua Badan Kuarantin Indonesia.

Bekas Ketua Pejabat Komunikasi Kepresidenan, Hasan Nasbi pula dilantik sebagai Penasihat Khas Presiden bagi Komunikasi.

Prabowo mempengerusikan upacara mengangkat sumpah bagi pegawai yang baru dilantik itu pada Isnin.- BERNAMA