Pemandu tuk-tuk Kemboja desak Grab naikkan tambang, kurangkan komisen

FOTO REUTERS

PHNOM PENH, 27 April – Pemandu tuk-tuk di Kemboja menggesa Grab menaikkan kadar tambang serta mengurangkan komisen, susulan tekanan kos bahan api yang semakin meningkat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pemandu berhimpun di luar pejabat Grab di Phnom Penh, mendakwa pendapatan terjejas akibat kenaikan harga bahan api.
  • Seorang pemandu, Sim Nak, beralih kepada LPG dan menuntut tambang dikembalikan kira-kira 1,200 riel/km seperti 2017.
  • Grab memaklumkan telah mengambil langkah menangani isu, tetapi pemandu mendakwa perubahan masih belum dirasai.
  • Harga bahan api turun naik April 2026, diesel naik paling tinggi, barisan panjang di stesen LPG tunjuk kekangan bekalan mampu milik.

Kumpulan pemandu itu berhimpun di luar pejabat Grab di Phnom Penh, dengan sebahagian daripada mereka mendakwa pendapatan semakin terjejas akibat kenaikan harga bahan api.

Seorang pemandu, Sim Nak, berkata beliau kini bergantung kepada gas petroleum cecair (LPG) berbanding petrol bagi menjimatkan kos, selain menggesa kadar tambang dikembalikan kepada kira-kira 1,200 riel (AS$0.30) bagi setiap kilometer seperti dilaksanakan pada 2017.

Sebelum ini, pemandu tuk-tuk turut mengadakan protes di kawasan Koh Pich awal bulan ini dengan tuntutan sama. Bagaimanapun, Grab memaklumkan pihaknya telah mengambil langkah bagi menangani isu berkenaan.

Namun, pemandu yang berhimpun hari ini mendakwa perubahan tersebut masih belum dirasai.

Ketika ini, kadar tambang tuk-tuk e-hailing dianggarkan antara 950 hingga 3,500 riel (AS$0.20 hingga AS$0.88) bagi setiap kilometer, bergantung kepada waktu dan keadaan cuaca.

Tekanan terhadap pemandu semakin memuncak susulan kenaikan harga bahan api global akibat ketegangan geopolitik, termasuk konflik melibatkan Iran yang menjejaskan laluan bekalan utama.

Di Kemboja, kesannya jelas apabila barisan panjang tuk-tuk dilihat setiap hari di stesen LPG berikutan kekangan bekalan bahan api mampu milik.

Sepanjang April 2026, harga bahan api di negara itu menunjukkan turun naik ketara, dengan petrol sekitar 5,000 hingga 5,500 riel seliter, LPG sekitar 3,900 riel seliter, manakala diesel mencatat kenaikan paling tinggi melebihi 8,100 riel seliter.

Situasi itu menggambarkan dilema pemandu tuk-tuk yang semakin terhimpit, tambang belum tentu naik, kos pula terus mendaki.-REUTERS