Bekalan plastik negara masih mencukupi, kerajaan tambah sumber alternatif

Foto janaan AI

KUALA LUMPUR, 24 April– Bekalan plastik negara ketika ini masih mencukupi sekurang-kurangnya untuk tempoh dua bulan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerajaan mempergiat usaha mendapatkan sumber tambahan bagi menampung gangguan bekalan plastik.
  • Inisiatif diperluas termasuk kerjasama antarabangsa dan penerokaan bahan mentah alternatif untuk kelangsungan rantaian bekalan.
  • Kerajaan fokus tiga strategi: pastikan bekalan asas mencukupi, mengoptimumkan pengurusan dan agihan, serta mengekang kenaikan harga melalui pemantauan rapi.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, kerajaan kini mempergiat usaha mendapatkan sumber tambahan.

Pada masa sama, inisiatif turut digerakkan bagi memperluas kerjasama antarabangsa serta meneroka bahan mentah alternatif bagi memastikan kelangsungan rantaian bekalan.

“Setakat ini, bekalan dalam negara masih mencukupi untuk sekurang-kurangnya dua bulan,” katanya dalam Taklimat Mingguan Krisis Global Tenaga, hari ini.

Menurut beliau, bekalan plastik global terjejas akibat gangguan pengeluaran minyak dan gas serta ketidaktentuan geopolitik di Selat Hormuz.

Katanya, industri plastik bergantung kepada bahan mentah berasaskan petrokimia seperti nafta, ammonia, etilena dan propilena yang dihasilkan daripada minyak dan gas.

“Apabila berlaku gangguan kepada bekalan global, pengeluaran akan terhad dan kos dijangka meningkat,” katanya.

Dalam masa sama, beliau berkata Kementerian Kesihatan (KKM) memperoleh bekalan tambahan nafta dan resin dari China bagi menyokong sektor kesihatan.

Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, kerajaan tidak akan membiarkan rakyat menanggung kesan tekanan rantaian bekalan global secara bersendirian.

“Kerajaan akan terus memastikan bekalan keperluan harian rakyat kekal terjamin.

Kerajaan memberi tumpuan kepada tiga strategi utama iaitu memastikan bekalan asas mencukupi, mengoptimumkan pengurusan dan pengagihan serta mengekang kenaikan harga melalui pemantauan rapi dan tindakan tegas,” ujarnya.

Terdahulu, industri pembuatan plastik negara dijangka berdepan ketidaktentuan susulan krisis di Asia Barat.

Beberapa gred resin dilaporkan melepasi paras US$2,000 setan, meningkat lebih 100 peratus akibat gangguan aliran minyak mentah dan bahan petrokimia di Selat Hormuz.