
ARAU, 24 April – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Perlis telah menyita sebuah kenderaan mewah jenis Lamborghini Revuelto yang dianggarkan bernilai RM2.3 juta dalam satu operasi harian di sekitar Jalan Kuala Perlis Changlun.
- Pemeriksaan JPJ mendapati kenderaan mempunyai LKM tamat tempoh dan tiada perlindungan insurans; tindakan sitaan dilaksanakan mengikut undang-undang.
- Sehingga kini enam buah kenderaan mewah telah disita oleh JPJ Perlis sejak Januari.
- JPJ mengingatkan kegagalan perbaharui cukai jalan dan insurans satu kesalahan serius serta boleh membahayakan keselamatan jalan raya.
Ia melibatkan kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) serta Kaedah-Kaedah Pengangkutan Jalan.
Menurut Pengarah JPJ Perlis, Noraini Mohd Nawi hasil pemeriksaan mendapati kenderaan tersebut melakukan kesalahan Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh serta tidak mempunyai perlindungan insurans.
“Sehubungan itu, tindakan sitaan telah dilaksanakan selaras dengan kuasa yang diperuntukkan di bawah undang-undang sedia ada”, katanya dalam satu kenyataan.
Berdasarkan rekod dari Januari hingga kini, sebanyak enam buah kenderaan mewah telah disita.
“Tindakan sebahagian pemilik kenderaan mewah yang gagal membayar Lesen Kenderaan Motor (LKM) telah menyebabkan berlakunya ketirisan hasil yang banyak kepada kerajaan memandangkan nilai LKM bagi sesebuah kenderaan mewah sedemikian adalah tinggi”, katanya.
JPJ Negeri Perlis mengingatkan bahawa kegagalan memperbaharui cukai jalan dan insurans merupakan satu kesalahan serius yang bukan sahaja melanggar peruntukan undang-undang, malah boleh membahayakan keselamatan pengguna jalan raya yang lain.
Sehubungan itu, semua pemilik kenderaan, termasuk pemilik kenderaan mewah, diingatkan agar sentiasa memastikan dokumen kenderaan diperbaharui dan dikemas kini sebelum tamat tempoh.