Pengasas taska, dua pengusaha didakwa operasi tanpa pendaftaran

Pengasas taska, Datin Nor Fadilah Alias, ketika tiba di Mahkamah Majistret di sini / BERNAMA

KUALA LUMPUR, 24 April– Pengasas rangkaian taman asuhan kanak-kanak (taska) bersama dua pengusaha cawangannya didakwa atas pertuduhan menjalankan operasi tanpa perakuan pendaftaran yang sah.

RINGKASAN BERITA AI
  • Ketiga-tiga tertuduh mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan tiga Majistret.
  • Pertuduhan berkaitan kejadian 9 Jan di Taman Danau Desa dan 5 Feb di Sri Rampai Business Park.
  • Mahkamah mengenakan ikat jamin: Nor Fadilah RM9,000, Nurul Aina RM2,500, Nurkhairunnisa RM3,500; sebutan 15 Jun.

Bagaimanapun, ketiga-tiga tertuduh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Tertuduh, Datin Nor Fadilah Alias, Nurul Aina Zulkifli dan Nurkhairunnisa Badrillah membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Atiqah Mohamed@Mohamad Saim, Majistret Khairunnisak Hassni dan Majistret Aina Azahra Arifin.

Mengikut pertuduhan, Datin Nor Fadilah dan Nurul Aina didakwa bersama-sama mengendalikan taska tidak berdaftar di Taman Danau Desa.

Kesalahan itu didakwa berlaku pada pukul 3.25 petang, 9 Januari lalu.

Datin Nor Fadilah turut berdepan satu lagi pertuduhan sama melibatkan sebuah taska di Sri Rampai Business Park, Medan Niaga Rampai pada 5 Februari lalu.

Kesemua pertuduhan dikemukakan bawah Seksyen 6(1) Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984.

Peruntukan itu memperuntukkan denda maksimum RM10,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nuriwanina Ibrahim, Nurainizatul Farhana Zainal dan Hench Goh.

Kesemua tertuduh diwakili peguam Syed Adam Al-Aqib Syed Mohammad Redza.

Mahkamah membenarkan Datin Nor Fadilah diikat jamin RM9,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan.

Nurul Aina diikat jamin RM2,500 manakala Nurkhairunnisa RM3,500.

Mahkamah menetapkan 15 Jun depan untuk sebutan kes dan serahan dokumen.

Terdahulu, Datin Nor Fadilah turut mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Shah Alam atas pertuduhan sama.