
KUALA LUMPUR, 24 April – Ahli Parlimen Kepala Batas, Dr Siti Mastura Muhammad diperintah membayar RM825,000 kepada tiga pemimpin veteran DAP selepas gagal dalam rayuan kes fitnah di Mahkamah Rayuan, hari ini.
- Keputusan Mahkamah Tinggi bertarikh 4 Disember 2024 dikekalkan; rayuan dan rayuan balas kedua-duanya ditolak.
- Panel tiga hakim diketuai Datuk Ahmad Kamal Md Shahid bersama Datin Paduka Evrol Mariette Peters dan Datuk Seri Latifah Mohd Taha.
- Mahkamah menyatakan mengaitkan seseorang dengan Parti Komunis atau sebagai ancaman kepada negara merupakan fitnah serius.
- Ditetapkan defendan memfitnah dengan mengaitkan pemimpin kepada Chin Peng; Mahkamah Tinggi memerintahkan ganti rugi RM300,000, RM250,000, RM200,000, kos RM25,000 setiap seorang, faedah 5%.
Tiga pemimpin berkenaan ialah Lim Kit Siang, Lim Guan Eng dan Teresa Kok.
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Datuk Ahmad Kamal Md Shahid bersama Datin Paduka Evrol Mariette Peters dan Datuk Seri Latifah Mohd Taha mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi bertarikh 4 Disember 2024.
“Keputusan Mahkamah Tinggi termasuk pemberian ganti rugi keseluruhan dan kos dikekalkan.
“Rayuan dan rayuan balas kedua-duanya ditolak, dan tiada perintah dibuat berhubung kos bagi rayuan dan rayuan balas tersebut,” kata Ahmad Kamal dalam prosiding secara dalam talian.
Beliau berkata, dalam konteks masyarakat Malaysia, melabel seseorang mempunyai kaitan dengan parti komunis yang diharamkan atau sebagai ancaman kepada negara merupakan satu bentuk fitnah yang serius.
“Oleh itu, Mahkamah Tinggi membuat penimbangan yang tepat bagi menjatuhkan hukuman atas kesalahan berkenaan,” katanya.
Terdahulu, defendan didapati memfitnah ketiga-tiga pemimpin itu apabila mengaitkan mereka mempunyai pertalian darah dengan bekas pemimpin Parti Komunis Malaya, Chin Peng dalam satu ceramah politik di Kemaman pada 4 November 2023.
Dalam keputusan terdahulu, Mahkamah Tinggi Pulau Pinang memerintahkan pembayaran ganti rugi RM300,000 kepada Lim Kit Siang, RM250,000 kepada Lim Guan Eng dan RM200,000 kepada Teresa Kok.
Selain itu, Dr Siti Mastura turut diarahkan membayar kos RM25,000 kepada setiap plaintif berserta faedah lima peratus setahun dari tarikh penghakiman.