RM300,000 diperuntuk bina semula titi roboh di Pulau Gaya

Foto ICU JPM

PUTRAJAYA, 24 April – Peruntukan khas berjumlah RM300,000 diluluskan Kerajaan MADANI bagi pembinaan semula titian di Kampung Selamat Lok Urai, Pulau Gaya, Sabah, susulan insiden titi roboh yang menjejaskan keselamatan penduduk setempat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kelulusan segera menunjukkan keprihatinan kerajaan dalam memastikan keselamatan awam terus diberi keutamaan.
  • Peruntukan akan digunakan bagi membina semula titian pejalan kaki yang lebih kukuh dan selamat menggantikan struktur lama uzur.
  • Pelaksanaan projek dipantau oleh ICU JPM Negeri Sabah bagi memastikan kelancaran dan penyelesaian segera demi kemudahan penduduk.
  • Langkah ini selaras aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan nilai ihsan, kesejahteraan dan pembangunan infrastruktur inklusif.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meluluskan peruntukan tersebut selepas kejadian pada 22 Mac lalu yang mengakibatkan beberapa penduduk terjatuh ke laut ketika aktiviti ziarah Aidilfitri.

Menurut kenyataan Unit Komunikasi Korporat dan Media, Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM), kelulusan segera itu mencerminkan keprihatinan kerajaan dalam memastikan aspek keselamatan awam terus diberi keutamaan.

“Peruntukan berkenaan akan digunakan sepenuhnya bagi membina semula titian pejalan kaki yang lebih kukuh dan selamat bagi menggantikan struktur lama yang telah uzur serta berisiko kepada pengguna,” katanya dalam satu kenyataan.

Pelaksanaan projek akan dipantau oleh ICU JPM Negeri Sabah bagi memastikan ia dapat disiapkan dengan segera demi kemudahan serta kesejahteraan penduduk.

Langkah tersebut selari aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan nilai ihsan dan kesejahteraan, selain memperkukuh pembangunan infrastruktur yang inklusif di seluruh negara.