Program Sunathon TABTAR UKM santuni kanak-kanak autistik

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 24 April – Seramai 21 kanak-kanak autistik berusia lapan hingga 13 tahun menyertai Program Sunathon Perdana yang dianjurkan khusus buat golongan itu di Hospital Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani, Hospital Pakar Kanak-kanak UKM (Hospital TABTAR), hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Program menyediakan prosedur berkhatan dengan bius penuh, menggunakan diatermi untuk kurangkan pendarahan dan pelekat antimikrob.
  • Permohonan tinggi, setiap peserta melalui saringan menyeluruh oleh pakar psikologi klinikal, pakar bedah dan pakar bius.
  • Bilik rawatan disesuaikan menggunakan teknik distraksi dan ruang khas untuk menenangkan kanak-kanak sebelum serta selepas prosedur.
  • Ibu bapa menghargai inisiatif, masyarakat lebih memahami, petugas perubatan dipuji atas profesionalisme dan empati.

Program julung kali itu diadakan sempena sambutan Bulan Kesedaran Autisme Sedunia yang disambut sepanjang April bagi menyantuni keperluan khas golongan berkenaan.

Pakar Perunding Kanan Pediatrik Surgeri Hospital TABTAR, Dr. Marjmin Osman berkata, inisiatif tersebut bertujuan membantu kanak-kanak berkenaan menjalani prosedur berkhatan dalam persekitaran yang selamat dan terkawal melalui kaedah bius penuh di dewan bedah.

“Prosedur ini menggunakan mesin diatermi yang berfungsi mengurangkan pendarahan melalui teknik koagulasi (pembekuan darah).

“Selain itu, kami menggunakan pelekat khas (glue) yang mempunyai sifat antimikrob bagi meminimumkan risiko jangkitan kuman,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Program Sunathon Perdana Kanak-kanak Autisme 2026 di Bangi.

Menurut Dr. Marjmin, pihaknya menerima sehingga 300 permohonan.

Namun setiap peserta perlu melalui saringan menyeluruh melibatkan pakar psikologi klinikal, pakar bedah, dan pakar bius bagi memastikan mereka benar-benar bersedia.

Jelasnya, setiap kanak-kanak autistik mempunyai keperluan berbeza, justeru suasana bilik rawatan disesuaikan termasuk penggunaan teknik distraksi serta ruang khas bagi menenangkan mereka sebelum dan selepas prosedur berkhatan.

Seorang bapa yang ditemui RTM, Mohd Khairil Kamarudin menyifatkan program berkenaan memberi peluang kepada anak-anak autistik menjalani prosedur berkhatan dalam suasana lebih selesa dan kondusif.

“Pertama sekali, kami ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada HUKM, khususnya atas penganjuran program seumpama ini. Program sebegini amat bermakna kerana bukan mudah untuk menemui inisiatif yang memberi peluang kepada kanak-kanak seperti ini.

“Oleh itu, apabila peluang sebegini diberikan, kami amat menghargainya dan mengambil kesempatan untuk memanfaatkannya sepenuhnya, kerana tidak semua tempat menyediakan program seumpama ini,” katanya.

Bagi Farah Waheeda A. Aziz pula, inisiatif sedemikian bukan sahaja memberikan akses rawatan yang sewajarnya, malah meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap keunikan kanak-kanak autistik.

“Masyarakat kini dilihat semakin terbuka dan mula menerima kehadiran mereka berbanding dahulu. Kita perlu belajar memahami bahawa mereka tidak berbeza dan perlu diterima seadanya,” katanya.

Nada yang sama turut dikongsi oleh Raja Munawar Shah Raja Taufik yang memuji profesionalisme petugas perubatan dalam mengendalikan kanak-kanak istimewa itu dengan penuh kemahiran dan empati.

“Dengan kemajuan teknologi sekarang, prosedur ini menjadi lebih mudah. Petugas di sini sangat mahir menguruskan anak-anak autisme dan sangat memahami keperluan mereka,” ujarnya.