688 kuil operasi tanpa kebenaran di Selangor

V Papparaidu menjawab soalan wakil Kota Kemuning di Sidang DUN Selangor. Foto BERNAMA

SHAH ALAM, 24 April – Sebanyak 688 kuil Hindu di Selangor dikenal pasti beroperasi tanpa kebenaran manakala hanya 285 kuil telah diwartakan dan berdaftar setakat April tahun ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • 433 kuil berada di atas tanah kerajaan dan 255 di tanah milik persendirian.
  • Data diperoleh melalui inventori daripada sembilan Pejabat Daerah dan Tanah.
  • Kerajaan menilai cadangan penempatan semula bagi rumah ibadat yang tidak dapat diwartakan di tapak sedia ada.
  • Permohonan pewartaan mesti mematuhi Kanun Tanah Negara 1965 dan dinilai jabatan teknikal berdasarkan status, zon guna serta keperluan teknikal.

Exco Pembasmian Kemiskinan dan Sumber Manusia Negeri, V Papparaidu berkata, daripada jumlah kuil itu, sebanyak 433 berada di atas tanah kerajaan manakala 255 lagi di tanah milik persendirian.

Beliau yang juga Pengerusi Bersama Jawatankuasa Khas Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao Negeri Selangor (LIMAS) berkata, angka tersebut diperoleh berdasarkan inventori daripada sembilan Pejabat Daerah dan Tanah.

Menurut beliau, kerajaan negeri kini sedang meneliti penyelesaian terbaik termasuk cadangan penempatan semula rumah ibadat yang tidak dapat diwartakan di tapak sedia ada.

“Beberapa lot tanah yang telah dirizabkan bagi tujuan Rumah Ibadat Selain Islam (RISI) di lokasi tertentu seluruh negeri turut dikenal pasti. Namun, kerajaan negeri masih menilai kesesuaian lot berkenaan dari segi perancangan, status tanah serta keperluan setempat sebelum dijadikan tapak baharu,” katanya.

Menurutnya, pendekatan itu diambil bagi memastikan penyelesaian yang lebih tersusun, praktikal dan selaras dengan keperluan perundangan serta keharmonian masyarakat.

“Sebarang permohonan pemberimilikan dan pewartaan tanah perlu mematuhi peruntukan di bawah Kanun Tanah Negara 1965.  Setiap permohonan juga akan dinilai secara menyeluruh oleh jabatan teknikal berkaitan dengan mengambil kira status tanah, zon guna tanah serta keperluan teknikal sebelum dipertimbangkan untuk kelulusan pihak berkuasa negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika pertanyaan ADUN Kota Kemuning, S. Preakas mengenai kuil dan tanah RIBI pada Sidang Dewan Selangor, di sini.