Mai Mengaji 2.0 KEDAHfm pupuk generasi menjiwai al-Quran

ALOR SETAR, 24 April – Pasangan adik beradik dari Sungai Petani masing-masing muncul Johan dan tempat ketiga dalam Pertandingan Mai Mengaji 2.0 Stesen Radio KEDAHfm, malam tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pertandingan menarik penyertaan ratusan remaja berumur 13 hingga 25 tahun, bermula Julai hingga Disember 2025.
  • Wan Ahmad Nur Firas muncul johan dengan 95 markah, pelajar Darul Quran JAKIM Kuala Kubu Bharu.
  • Hadiah wang tunai RM13,000 dan sijil disampaikan; program disiarkan langsung melalui RTMKlik, Facebook, TikTok KEDAHfm.

Program yang mengetengahkan golongan muda berusia 13 hingga 25 tahun itu mendapat penyertaan memberangsangkan apabila ratusan penyertaan diterima daripada anak muda bermula Julai hingga Disember 2025.

Wan Ahmad Nur Firas Wan Mohd Nurussabah, 19, merupakan pelajar Darul Quran JAKIM Kuala Kubu Bharu, Selangor muncul Johan apabila memperoleh 95 markah.

Manakala adiknya, Wan Ahmad Nur Hafiy, 14, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Ibrahim, Sungai Petani merangkul tempat ketiga.

Naib johan dimenangi mahasiswa Ijazah Sarjana Bahasa Arab, Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, Muhammad Farhan Mohan Dass.

Hadiah wang tunai berjumlah RM13 ribu diraih para pemenang termasuk sijil dan hadiah iringan yang disampaikan Ketua Pegawai Eksekutif NESQ Travel & Tours Sdn. Bhd, Mohd Firdaus Rezali di Auditorium Jabatan Penyiaran KedahFM di sini.

Turut hadir Pengarah Penyiaran Kedah, Nur Hafizoh Idris serta Pengarah Bahagian Pemasaran dan Promosi RTM, Kamal Roslim.

Pertandingan Mai Mengaji 2.0 KEDAHfm membina kesinambungan generasi yang menjiwai al-Quran di kalangan remaja dan belia.

Bertemakan “Suara Muda Jiwa al-Quran”, program terbitan Nadzri Md Nasir ini turut bersiaran secara langsung menerusi RTMKlik dan Facebook serta TikTok KEDAHfm.