
MEXICO CITY, 22 April – Kerajaan Mexico memberi jaminan bahawa tahap keselamatan bagi penganjuran Piala Dunia 2026 adalah “terjamin” susulan insiden serangan bersenjata di tapak arkeologi Teotihuacan yang mengorbankan seorang pelancong warga Kanada, pada Selasa.
- Serangan bersenjata di tapak arkeologi Teotihuacan mengorbankan seorang pelancong Kanada dan mencederakan 13 orang.
- Pihak berkuasa belum mengesahkan jumlah cedera dengan terperinci; saksi melaporkan seorang kanak-kanak terkena tembakan di bahagian kaki.
- Insiden itu meningkatkan kebimbangan antarabangsa tentang keselamatan tapak pelancongan menjelang Piala Dunia 2026 yang akan dihoskan bersama Amerika Syarikat dan Kanada.
Menteri Keselamatan Mexico, Omar Garcia berkata, komitmen itu tetap teguh ketika negara itu kini sedang bersiap sedia untuk menjadi tuan rumah bersama kejohanan bola sepak terbesar dunia itu bersama Amerika Syarikat dan Kanada.
Dalam kejadian di tapak bersejarah berhampiran ibu negara itu, seorang lelaki bersenjata telah melepaskan tembakan yang mengakibatkan seorang maut, manakala 13 yang lain mengalami kecederaan.
Pihak berkuasa keselamatan memaklumkan setakat ini jumlah mangsa yang cedera masih belum dapat dipastikan secara terperinci.
Bagaimanapun, seorang saksi yang enggan dikenali memberitahu Reuters bahawa seorang kanak-kanak lelaki antara yang cedera selepas ditembak di bahagian kaki.
Insiden berdarah itu dijangka meningkatkan penelitian antarabangsa terhadap tahap keselamatan di kawasan tumpuan pelancong dan tapak kebudayaan utama di Mexico.
Mexico bakal menjadi tumpuan jutaan peminat bola sepak dari seluruh dunia pada 2026.
Kejadian terbaharu itu menimbulkan kebimbangan mengenai keupayaan pihak berkuasa dalam menangani keganasan bersenjata di lokasi awam menjelang sepak mula kejohanan berkenaan. – REUTERS