PETRONAS perkukuh agenda iklim menerusi kerjasama NbS dengan Terengganu

Gambar fail

KUALA LUMPUR, 21 April – PETRONAS dan Kerajaan Negeri Terengganu menerusi Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Terengganu menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi meneroka peluang pembangunan penyelesaian berasaskan alam semula jadi (Nature-based Solutions atau NbS) di negeri itu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerjasama menilai lokasi berpotensi di seluruh Terengganu untuk projek karbon NbS yang memenuhi piawaian pensijilan antarabangsa.
  • Projek disasarkan menjana kredit karbon berkualiti tinggi, menyokong pemuliharaan dan memberi manfaat nyata kepada komuniti setempat.
  • PETRONAS berharap NbS memperkukuh daya tahan iklim, meningkatkan biodiversiti dan menyokong aspirasi iklim Malaysia.
  • NbS membantu mengurangkan serta menyingkirkan gas rumah hijau dan menjana kredit untuk menampung pelepasan sukar dikurangkan demi sasaran sifar bersih 2050.

Di bawah MoU berkenaan, kedua-dua pihak akan bekerjasama untuk mengenal pasti dan menilai lokasi berpotensi di seluruh Terengganu bagi pelaksanaan projek karbon berasaskan alam semula jadi yang memenuhi piawaian pensijilan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Projek-projek berkenaan disasarkan untuk menjana kredit karbon berkualiti tinggi, di samping memberi manfaat nyata kepada komuniti setempat serta menyokong usaha pemuliharaan alam sekitar.

MoU itu ditandatangani oleh Pengurus Besar Kanan, Nature, Kelestarian Korporat PETRONAS, Giulia Sartori dan Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Datuk Mohd Azmi Mohamad Daham.

Majlis menandatangani MoU itu turut disaksikan oleh Pengurus Besar, Nature Centre of Excellence and Solutions, Kelestarian Korporat PETRONAS, Ezrin Johanna Elias, serta Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri Terengganu, Datuk Rosli Latif.

Mengulas kerjasama itu, Giulia berkata PETRONAS menantikan kerjasama erat dengan kerajaan negeri bagi memajukan inisiatif positif iklim yang mampu mewujudkan nilai bersama.

“Kami berbesar hati dapat bekerjasama dengan kerajaan negeri Terengganu dalam memajukan penyelesaian berasaskan alam semula jadi yang dapat memperkukuh daya tahan iklim, meningkatkan biodiversiti serta memberi manfaat bermakna kepada komuniti setempat.

“Kerjasama ini dibina atas kehadiran jangka panjang PETRONAS di negeri ini, dan kami berharap dapat terus mencipta nilai kepada negeri serta menyokong aspirasi iklim Malaysia secara keseluruhan,” katanya.

Sementara itu, Datuk Mohd Azmi menyambut baik kerjasama berkenaan sambil menekankan peranan ekosistem semula jadi Terengganu dan potensinya dalam menyumbang kepada usaha mitigasi perubahan iklim.

“Terengganu dikurniakan ekosistem semula jadi yang pelbagai dan mempunyai potensi besar untuk pembangunan penyelesaian berasaskan alam semula jadi.

“Menerusi kerjasama dengan PETRONAS ini, kami berharap dapat menyumbang kepada usaha Malaysia mengurangkan pelepasan karbon, sambil memastikan pemuliharaan alam sekitar memberi manfaat berpanjangan kepada rakyat Terengganu,” katanya.

NbS merangkumi tindakan untuk mengurangkan dan menyingkirkan pelepasan gas rumah hijau menerusi pemuliharaan, perlindungan, pemulihan dan pengurusan mampan ekosistem semula jadi.

Kredit karbon yang dijana menerusi NbS penting kepada PETRONAS dalam menangani pelepasan sisa dan pelepasan yang sukar dikurangkan, sekali gus melengkapi laluan syarikat ke arah mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050.