
PUTRAJAYA, 20 April- Sebanyak 26 jabatan, agensi kerajaan dan kerajaan negeri menggunakan sistem Pangkalan Data Utama (PADU) setakat Mac lalu, sekali gus menunjukkan platform itu semakin meluas digunakan dalam sistem penyampaian perkhidmatan awam.
- PADU kini berkembang dari pendaftaran kepada sokongan perkhidmatan kerajaan menyeluruh, dengan tumpuan perkhidmatan dan pelaksanaan pada 2026.
- PADU berfungsi sebagai enjin data belakang kepada perkhidmatan kerajaan; laman dikemas kini menerangkan ia sebagai pangkalan data, analitik dan platform bersepadu.
- Mulai Mei, komponen perkhidmatan berasaskan analitik diperkenalkan untuk membantu agensi membuat penilaian menyeluruh sebelum pelaksanaan dasar.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata perkembangan tersebut membuktikan peranan PADU kini tidak lagi tertumpu kepada proses pendaftaran semata-mata, sebaliknya turut menyokong pelaksanaan perkhidmatan kerajaan secara lebih menyeluruh.
“Sepertimana jaminan yang saya berikan sebelum ini, PADU bagi tahun 2026 akan ditumpukan kepada aspek perkhidmatan dan pelaksanaan.
“PADU akan berfungsi sebagai ‘back-end’ (enjin data)kepada perkhidmatan kerajaan yang lain serta menyediakan maklum balas kepada rakyat. Halaman PADU juga telah dikemas kini bagi menerangkan pendekatan sistem ini sebagai pangkalan data, analitik dan platform data bersepadu (unified platform),” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Kementerian Ekonomi dan Hala Tuju PADU di sini hari ini.
Menurut beliau, kerajaan akan menambah baik satu lagi komponen PADU bermula Mei ini, iaitu perkhidmatan berasaskan analitik yang akan membantu agensi membuat penilaian lebih menyeluruh sebelum sesuatu keputusan atau dasar dilaksanakan.
Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan satu lagi permohonan baharu dijangka diluluskan dalam masa terdekat membabitkan Jabatan Kebajikan Masyarakat.
PADU dibangunkan sebagai repositori data nasional bagi menyokong penyaluran bantuan yang lebih tepat kepada rakyat serta memperkukuh pendekatan pentadbiran berasaskan data.
Dalam masa sama, beliau memaklumkan bahawa kerajaan tidak bercadang untuk mengkomersialkan penggunaan PADU.
“Saya tidak fikir kerajaan akan mengkomersialkan data PADU kerana tumpuannya adalah kepada perkhidmatan kerajaan,” katanya lagi.