iCiTRA 2026: Perkasa pendidikan multidisiplin berteraskan insan

Gambar/RTM

KUALA LUMPUR, 23 April – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melalui Pusat Pengajian Citra Universiti akan menganjurkan CITRA International Virtual Conference on Liberal Studies 2026 (iCiTRA 2026) pada 17 hingga 18 September 2026.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tema menekankan pendidikan multidisiplin berpusatkan insan untuk membentuk masyarakat berilmu, beretika dan berdaya tahan.
  • Inisiatif memperkukuh peranan pendidikan liberal sebagai jambatan antara ilmu, nilai dan kemanusiaan.
  • Platform untuk akademia, penyelidik, pengamal industri dan mahasiswa berkongsi idea, dapatan kajian dan pengalaman.
  • Menawarkan penerbitan kertas kerja, meningkatkan jaringan, keterlihatan akademik dan kebolehpasaran graduan serta memupuk pemikiran kritis.

Persidangan secara maya itu mengangkat tema “Multidisciplinary Education for Human-Centred Lifelong Learning”, yang menekankan kepentingan pendidikan berpusatkan insan dalam membentuk masyarakat berilmu, beretika dan berdaya tahan.

Menurut Pengarah Program, Dr. Rozita Ibrahim, penganjuran iCiTRA 2026 merupakan satu inisiatif penting dalam memperkukuh peranan pendidikan liberal sebagai jambatan antara ilmu, nilai dan kemanusiaan.

Katanya pendidikan masa kini tidak hanya melangkaui aspek teknikal semata-mata, sebaliknya memberi penekanan kepada pembangunan insan secara menyeluruh agar mampu menyumbang secara bermakna kepada masyarakat.

Universiti itu dalam kenyataan menyebut, iCiTRA 2026 membuka ruang kepada para akademia, penyelidik, pengamal industri dan mahasiswa untuk berkongsi idea, dapatan kajian dan pengalaman dalam pelbagai bidang.

Antara fokus utama termasuk falsafah pendidikan liberal, reka bentuk kurikulum, literasi dan kemanusiaan, dasar pendidikan, serta pembangunan pelajar dan kebolehpasaran graduan.

Selain itu, persidangan ini turut mengetengahkan kepentingan sinergi antara akademia, industri dan komuniti.

Sebagai platform antarabangsa, iCiTRA 2026 juga menawarkan peluang kepada pembentang untuk menerbitkan kertas kerja dalam jurnal akademik terpilih.

Ini bagi memberi nilai tambah kepada penyelidik, khususnya golongan muda yang ingin mengembangkan jaringan dan meningkatkan keterlihatan akademik mereka di peringkat global.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Kepimpinan, Pusat Hal Ehwal Pelajar UKM, Ts. Dr. Ahmad Firdhaus Arham berkata platform seperti iCiTRA 2026 penting dalam membina keyakinan serta memupuk pemikiran kritis dalam kalangan mahasiswa.