Ronaldo kemudi Al Nassr ke separuh akhir Liga Juara-Juara AFC 2

Foto REUTERS

DUBAI, 20 April– Cristiano Ronaldo membuka tirai jaringan pada Ahad (19 April) bagi membantu Al Nassr mengesahkan slot separuh akhir Liga Juara-Juara AFC 2.

RINGKASAN BERITA AI
  • Al Nassr menang besar 4-0 ke atas Al Wassl di Stadium Zabeel, Dubai.
  • Joao Félix hantarkan sudut untuk Inigo Martínez, juga mengumpan gol Abdulelah Al-Amri; Sadio Mané menambah jaringan.
  • Al Nassr menunggu pemenang antara Al Ahli SC (Qatar) atau Al Hussein (Jordan) untuk menentukan lawan pada final Mei.

Kemenangan besar 4-0 ke atas kelab Emiriah Arab Bersatu, Al Wassl menyaksikan pasukan dari Riyadh itu tampil dominan sepanjang perlawanan di Stadium Zabeel, Dubai.

Bintang Portugal itu menjaringkan gol pada minit ke-11 selepas menyudahkan hantaran Nawaf Boushal.

Jaringan awal tersebut mencetuskan semangat buat Al Nassr yang kemudiannya berjaya meledak dua lagi gol pantas dalam tempoh hanya dua minit untuk meletakkan mereka dalam kawalan penuh.

Pertahanan Inigo Martínez menggandakan kedudukan menerusi tandukan hasil hantaran sudut Joao Felix.

Tidak lama selepas itu, Felix sekali lagi bertindak sebagai pengumpan untuk gol ketiga yang disempurnakan oleh Abdulelah Al-Amri pada minit ke-26, sekali gus mendiamkan sorakan penyokong tuan rumah.

Sadio Mane sempat menambah duka Al Wassl menerusi gol pada minit ke-80 selepas memperdayakan penjaga gol lawan.

Gol keempat tersebut melengkapkan malam gemilang Al Nassr dan menutup sebarang ruang untuk kebangkitan pasukan lawan.

Al Nassr kini menanti pemenang antara Al Ahli SC dari Qatar atau Al Hussein dari Jordan untuk aksi penentuan ke perlawanan akhir Mei depan.

Di zon Timur, wakil Jepun, Gamba Osaka, sudah terlebih dahulu mengesahkan tempat ke pentas akhir selepas menyingkirkan Bangkok United. -REUTERS