
LUBNAN, 17 April – Israel melanggar perjanjian gencatan senjata dengan Lubnan hanya beberapa jam selepas ia berkuat kuasa hari ini.
- Pengeboman berskala besar dilaporkan di selatan Lubnan oleh rejim Zionis.
- Beberapa kawasan terjejas termasuk bandar Khiam dalam daerah Marjayoun.
- Tentera Lubnan mengesahkan serangan dan merekodkan pengeboman berkala menjejaskan kampung.
- Serangan sejak 2 Mac mengorbankan lebih 2,000 orang, mencederakan ribuan dan memaksa lebih sejuta berpindah.
Menurut Anadolu yang memetik laporan Agensi Berita Nasional Lubnan (NNA), rejim Zionis melakukan pengeboman berskala besar di selatan Lubnan.
Beberapa lokasi dilapor terjejas termasuk bandar Khiam dalam daerah Marjayoun.
Tentera Lubnan menerusi hantaran di laman X turut mengesahkan perkara itu.
“Kami merekodkan sejumlah pelanggaran terhadap perjanjian termasuk pengeboman secara berkala yang menjejaskan beberapa kampung,” menurut hantaran itu.
Orang ramai diminta menangguhkan perjalanan ke wilayah berkenaan dan kawasan berbahaya, selain mematuhi arahan anggota tentera yang bertugas di lapangan demi keselamatan.
Pihak tentera akan terus memantau perkembangan semasa dan mengambil langkah diperlukan untuk melindungi orang ramai.
Serangan Israel terhadap Lubnan yang bermula pada 2 Mac lalu telah mengorbankan lebih 2,000 orang dan mencederakan 7,185 individu serta memaksa lebih 1 juta penduduk berpindah. – ANADOLU