
ULASAN BERITA
- Ancaman penutupan Selat Hormuz mengancam bekalan tenaga dan perdagangan global, berisiko melambungkan kos dan menjejaskan ekonomi dunia.
- FAO memberi amaran gangguan laluan laut boleh menaikkan kos agromakanan, menjejaskan Asia Selatan dan beberapa kawasan Afrika Sub-Sahara.
- Penyelesaian hibrid: gabungkan teknologi pertanian pintar dengan amalan tradisi, seperti pertanian bandar dan kebun komuniti untuk sekuriti makanan.
- IMF dan Bank Dunia memberi amaran harga tenaga dan baja melonjak dan kekal tinggi; rakyat perlu berjimat tenaga dan meningkatkan ketahanan tempatan.
Rundingan damai peringkat tertinggi antara Amerika Syarikat dengan Iran berakhir tanpa persetujuan selepas rundingan selama 21 jam.
Pertemuan yang berlangsung di Islamabad pada hujung minggu lalu itu juga gagal mencapai kata sepakat untuk menamatkan perang di Asia Barat.
Ketegangan di rantau kaya minyak itu mula memuncak sejak 28 Februari selepas Amerika dan Israel melancarkan serangan bersama ke atas Iran.
White House memberi bayangan rundingan itu mungkin disambung semula minggu ini.
Namun Tehran mengesahkan belum ada tarikh baharu ditetapkan bagi pusingan kedua rundingan.
Natijahnya, dunia yang terpaksa menanggung padah kerana hakikat bahawa ‘permainan’ perang ini belum lagi berkesudahan.
Iran tekad untuk menutup Selat Hormuz, laluan maritim paling strategik di dunia yang menghubungkan Teluk Parsi dengan Teluk Oman dan Lautan Hindi.
Ironinya, negara Uncle Sam juga mengumumkan untuk melaksanakan sekatan maritim di selat sempit itu yang menjadi laluan utama kepada bekalan tenaga dunia.
Masyarakat antarabangsa sangat bimbang kerana ekonomi dunia boleh terjerumus dalam ambang kemelesetan yang sangat lama.
Tetapi, adakah perlu sampai kembali kepada gaya hidup lama, memasak menggunakan kayu api?
Jawapannya, pasti tidak walaupun di India, misalnya ada restoran mula kembali menggunakan arang kayu sebagai sumber memasak.
Pertubuhan Makanan dan Pertanian bawah Pertubuhan Bangsa Bersatu (FAO) memberi amaran bahawa gangguan di sekitar Selat Hormuz boleh meningkatkan kos di seluruh sistem agromakanan global.
Sementelah, beberapa negara Teluk yang kaya juga merasakan tempiasnya kerana bergantung tinggi kepada import makanan dan perdagangan laut.
Menurut FAO, Asia Selatan dan sebahagian Afrika Sub-Sahara antara kawasan yang paling terkesan dan membimbangkan.
Pengeluaran pertanian boleh terjejas dalam masa singkat lebih-lebih lagi pada musim menanam apabila bekalan baja dan tenaga terganggu.
Dalam hal ini, saranan agar rakyat memanfaatkan ruang laman tanah untuk bercucuk tanam setidak-tidaknya boleh menambah pendapatan sampingan.
Ini selari dengan konsep sekuriti makanan yang menekankan akses berterusan kepada makanan mencukupi, selamat dan berkhasiat.
Kita bukanlah kembali sepenuhnya ke zaman dahulu, sebaliknya bergerak ke arah model hibrid, iaitu menggabungkan teknologi moden dengan amalan tradisi yang lebih tahan krisis.
Contohnya pertanian bandar. Konsep ini menekankan penggunaan laman rumah, bumbung bangunan atau kawasan komuniti untuk menghasilkan makanan sendiri.
Di Singapura lebih 30 peratus keperluan makanan disasarkan untuk dihasilkan secara tempatan menjelang 2030 melalui teknologi pertanian pintar.
Di Malaysia pula, inisiatif kebun komuniti semakin berkembang khususnya selepas pandemik COVID-19 yang mendedahkan kelemahan rantaian bekalan global.
Perlu tahu, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia memberi amaran harga bahan api dan baja berkemungkinan kekal tinggi untuk tempoh yang panjang.
Walaupun laluan seperti Selat Hormuz kembali stabil kesannya tidak akan hilang dalam masa terdekat.
Dalam hal ini, masyarakat seharusnya mampu menyesuaikan diri dengan gaya hidup yang lebih jimat tenaga.
Krisis tenaga global yang berpanjangan menuntut pendekatan yang lebih ‘lokal’, fleksibel dan tahan krisis. Amalkan gaya hidup jimat tenaga.
Ia bukan pilihan, kerana di situ terletaknya keupayaan sebenar kita untuk menghadapi masa depan dengan lebih bersedia.
Ulasan berita ini disediakan oleh Editor Grace Aisyah Kedayan.