iRISECON 2026: Pemangkin inovasi dan penyelidikan mampan penuhi Visi Penang 2030

Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid / RTM

PEMATANG PAUH, 19 April -Penganjuran persidangan antarabangsa di peringkat institusi pengajian tinggi dilihat sebagai pemangkin penting dalam mencetuskan idea penyelidikan dan inovasi yang mampan, selari dengan aspirasi menjadikan Pulau Pinang sebagai negeri maju menjelang 2030.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerajaan negeri menggalakkan persidangan akademik untuk menghubungkan komuniti akademik dan industri bagi memajukan sains dan teknologi.
  • iRISECON 2026 memperlihatkan penyertaan antarabangsa dan pembentangan kertas kerja meliputi AI, TVET serta bidang kejuruteraan.
  • Kerjasama erat dengan universiti antarabangsa dan sokongan kerajaan negeri mengukuhkan jaringan akademik serta memajukan pendidikan dan inovasi.

Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid berkata, kerajaan negeri amat menggalakkan penganjuran platform seumpama itu kerana ia mampu menghimpunkan komuniti akademik dan industri untuk memajukan bidang sains serta teknologi.

“Kerajaan negeri memang menggalakkan persidangan seumpama ini diadakan oleh mana-mana institusi pengajian tinggi di Pulau Pinang, termasuk Politeknik.

“Melalui kejayaan program ini, banyak cetusan idea daripada kajian berkaitan inovasi, kemampanan dan pendidikan sains teknologi dapat dihasilkan supaya ia selari dengan visi Penang 2030,” katanya pada Persidangan Antarabangsa Penyelidikan, Inovasi, Kemampanan dan Pendidikan (iRISECON) 2026 di Politeknik Seberang Perai (PSP) di sini, hari ini.

Persidangan itu menyaksikan penyertaan 370 peserta melibatkan tujuh universiti dari Malaysia, Indonesia dan Turki, dengan pembentangan 273 kertas kerja merangkumi bidang Kecerdasan Buatan (AI), TVET serta Kejuruteraan.

Sementara itu, Pengarah PSP, Mohd Ruzi Hamzah berkata, iRISECON kali ini mencatatkan pencapaian membanggakan apabila turut mendapat kerjasama akrab daripada kerajaan negeri dan penyertaan penceramah utama dari lima negara iaitu Malaysia, Indonesia, Brunei, India dan Turki.

“Kolaborasi ini, termasuk kerjasama dengan Universiti Syiah Kuala, Acheh, mampu mengeratkan lagi hubungan akademik antara negara-negara terlibat. Kita juga mendapat sokongan padu kerajaan negeri yang ingin memajukan sektor pendidikan dan inovasi,” jelas beliau.

iRISECON 2027 dijadualkan berlangsung pada April tahun depan di Acheh, Indonesia, yang dijangka bakal menarik lebih ramai penyertaan daripada golongan akademik antarabangsa.