
LABUAN, 19 April -Pendedahan secara langsung kepada lokasi tumpuan pelancong dan interaksi fizikal bersama komuniti menjadi teras utama program “RTM 80: 8 Destinasi, 1 Legasi” anjuran LABUANfm dalam usaha mengeratkan silaturahim antara warga penyiar dan pendengar setianya.
- Program candawara memberi pengalaman baharu kepada penyampai untuk merasai aktiviti di lokasi pilihan peminat.
- Pendekatan interaktif merentas pelbagai platform mempromosikan keunikan produk pelancongan Labuan kepada masyarakat luar.
- Lapan destinasi ikonik dipilih, termasuk Ramsey Point, Dataran Labuan, Muzium Chimney, Taman Burung dan Paya Bakau Kinabenua.
- Inisiatif dijangka meningkatkan angka pendengar dan tontonan digital sekaligus memperkukuh kedudukan stesen tempatan.
Timbalan Pengarah Jabatan Penyiaran Labuan, Howard Martin Kim Sung berkata, program berbentuk candawara itu bukan sekadar meraikan ulang tahun ke-80 Radio Televisyen Malaysia (RTM), malah memberi pengalaman baharu kepada para penyampai untuk merasai sendiri aktiviti di lokasi pilihan peminat.
“Ianya memberikan satu pendedahan dan pengalaman khusus kepada penyampai dan peminat setia untuk bersama-sama merasai aktiviti di lokasi yang menjadi tumpuan.
“Tujuan utama kita adalah untuk mengeratkan silaturahim antara penyampai bersama dengan peminat ataupun audiens,” katanya ketika ditemui pada majlis penutupan program tersebut di sini, hari ini.
Menurut Howard, pendekatan interaktif merentas pelbagai platform itu secara tidak langsung mempromosikan keunikan produk pelancongan di pulau ini kepada masyarakat luar.
Sebanyak lapan destinasi ikonik dipilih sebagai lokasi tumpuan antaranya Ramsey Point, Dataran Labuan, Tugu Peringatan Perang, Muzium Chimney, Taman Burung Labuan, Taman Damai, Surrender Point dan Taman Ekologi Paya Bakau Kinabenua.
Beliau optimis inisiatif tersebut mampu meningkatkan data pendengar dan jumlah tontonan digital, sekali gus memperkukuh kedudukan serta rating LABUANfm sebagai stesen penyiaran tempatan yang dinamik.