Gaza bakal laksana pilihan raya tempatan pertama dalam tempoh 20 tahun

Foto REUTERS

GAZA, 19 April– Penduduk di Deir al-Balah bakal mencipta sejarah apabila menunaikan tanggungjawab mengundi dalam pilihan raya perbandaran pada 25 April ini, sekali gus menandakan pilihan raya tempatan pertama diadakan di Gaza sejak 2005.

RINGKASAN BERITA AI
  • Suruhanjaya mengesahkan Pilihan Raya Tempatan 2026 melibatkan 421 majlis perbandaran di 12 lokasi strategik merentasi Tebing Barat dan Deir al-Balah.
  • Pilihan raya dilihat sebagai peluang memulihkan tadbir urus awam dan membaiki infrastruktur yang lumpuh akibat konflik.
  • Golongan pelarian mendesak wakil terpilih segera tangani isu sanitasi serta kawalan makhluk perosak di kem perlindungan.

Suruhanjaya Pilihan Raya Pusat Palestin mengesahkan Pilihan Raya Tempatan 2026 itu akan melibatkan 421 majlis perbandaran di 12 lokasi strategik merentasi Tebing Barat dan Deir al-Balah.

Bandar di tengah Gaza tersebut dipilih sebagai lokasi pengundian memandangkan ia terselamat daripada kemusnahan skala besar berbanding kawasan lain di wilayah tersebut, membolehkan poster calon dan risalah kempen kini mula menghiasi ruang awam.

Bagi penduduk tempatan, pilihan raya tersebut bukan sekadar proses demokrasi, malah dilihat sebagai peluang keemasan untuk memulihkan tadbir urus awam serta membaiki infrastruktur yang lumpuh akibat konflik.

“Kepulangan sistem pilihan raya selepas 20 tahun memberikan kami sinar harapan untuk bergerak maju dan melakukan perubahan setelah sekian lama dinafikan hak, terutamanya selepas mengharungi peperangan yang perit,” ujar seorang calon, Saeed Abu Issa.

Selain pembangunan semula, golongan pelarian di kawasan tersebut turut mendesak wakil rakyat yang terpilih agar segera menangani isu sanitasi serta kawalan makhluk perosak di kem-kem perlindungan bagi menjamin kesihatan awam.

Berdasarkan rekod, pilihan raya tempatan terakhir hanya diadakan di Tebing Barat pada 2021, manakala pengundian di Gaza terpaksa ditangguhkan sebelum ini akibat perpecahan dalaman Palestin serta faktor keselamatan. -REUTERS