BDR mengiktiraf integriti penjawat awam

Gambar hiasan/RTM

SAUDARA PENGARANG

RINGKASAN BERITA AI
  • BDR sebagai pengiktirafan kepada integriti dan amanah penjawat awam.
  • Ketua jabatan mesti beralih dari pantau kehadiran kepada pantau hasil kerja dan sediakan mekanisme pemantauan berkualiti.
  • Penjawat awam wajib patuhi PPSM SR4.1.2, mendaftar SPOT-Me setiap jam dan kerap laporkan kemajuan tugasan.
  • BDR menuntut komunikasi strategik, respons cepat, keadilan kepada yang tidak layak dan kualiti penyampaian perkhidmatan.

Rata-rata semua rakyat memahami dan menerima dengan baik keputusan pihak kerajaan membenarkan penjawat awam di Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor, selain semua ibu negeri dengan jarak perjalanan sehala dari pejabat ke rumah melebihi lapan kilometer bekerja dari rumah atau BDR.

Pelaksanaan BDR selama tiga hari dalam seminggu untuk perkhidmatan awam itu susulan krisis bekalan global akibat konflik Asia Barat yang semakin meruncing. Ia secara prinsip wajar dilihat sebagai satu bentuk pengiktirafan pihak kerajaan terhadap tahap integriti penjawat awam di negara ini.

Pelaksanaan BDR bukan lagi perkara baharu kerana kita telah melalui fasa itu ketika ancaman wabak COVID-19 sebelum ini. Justeru penjawat awam sepatutnya tiada masalah untuk menyesuaikan diri dan mematuhi aturan kerja BDR kali ini.

Malah integriti penjawat awam ketika pandemik yang melaksanakan semua tugasan dari rumah dengan penuh dedikasi sehingga sistem penyampaian perkhidmatan awam terus berfungsi dengan cekap dan lancar dan dijadikan contoh amalan yang terpuji.

Lumrahnya persoalan hakiki yang sering menjadi cabaran dalam pelaksanaan BDR ialah sejauh mana seseorang penjawat awam itu benar-benar amanah ketika dibenarkan bekerja dari rumah. Ringkasnya BDR akan menguji integriti dan amanah setiap individu penjawat awam yang diberi kemudahan dan kebenaran untuk BDR.

Harus diingat pelaksanaan BDR kali ini berbeza sedikit berbanding amalan ketika wabak di mana selain pengecualian untuk tiga sektor iaitu keselamatan dan pertahanan, kesihatan serta pendidikan.

BDR kali ini juga hanya diperuntukkan kepada penjawat awam yang jarak perjalanan sehala dari pejabat ke rumah melebihi lapan kilometer. Ini bermaksud tidak semua layak dan akan ada sebahagian perlu hadir ke pejabat seperti biasa setiap hari.

Justeru BDR kali ini sekali lagi menyediakan ruang untuk penjawat awam membuktikan integriti masing-masing. Ia kerana kita tidak mahu timbul persepsi atau rungutan isu keadilan mahu pun pertikaian terhadap kerja yang dilaksanakan oleh penjawat awam yang dibenarkan BDR berbanding yang perlu hadir ke pejabat seperti biasa.

Ini boleh mencetuskan konflik dalaman sesuatu organisasi jika tidak diangani secara bijak, profesional, adil dan berhemat. Justeru pelaksanaan BDR kali ini benar-benar akan menguji integriti setiap ketua jabatan dan individu penjawat awam yang layak diberikan BDR.

Sudah tentu peranan ketua jabatan yang paling kritikal kerana perlu memastikan anak buah masing-masing dapat melaksanakan tugasan dengan sewajarnya serta mencapai sasaran kerja ditetapkan dengan penuh berkualiti walaupun bekerja dari rumah, yakni tanpa pemantauan fizikal ketua jabatan.

Ringkasnya, ketua jabatan perlu mengubah pendekatan daripada pantau kehadiran kepada amalan pantau hasil kerja kerana BDR bukan tentang budaya pantau orang, tetapi lebih kepada megurus prestasi staf.

Dalam konteks ini ketua jabatan perlu ada mekanisme pemantauan yang lebih spesifik selain bergantung harap kepada Sistem Pemantauan Operasi Tugas Secara Elektronik (SPOT-Me) yang membolehkan perekodan kehadiran pegawai melalui fungsi geolokasi pada peranti mudah alih dari rumah.

Harus diingat walaupun pegawai perlu mendaftar masuk dalam SPOT-Me setiap satu jam sekali gus membolehkan ketua jabatan memantau keberadaan pegawai, namun isu utama ialah pelaksanaan kerja yang diamanahkan dengan penuh integriti.

Maka selain memantau keberadaan lokasi, perlu ada pendekatan yang memerlukan penjawat awam melapokan kemajuan sesuatu tugasan yang diamanahkan atau kerja-kerja yang sedang dilakukan pada skala yang lebih kerap. Ini bagi memudahkan proses pemantauan yang lebih berkualiti dan berkesan dapat dilaksanakan.

Sediakan juga, mekanisme supaya penjawat awam lebih kerap melaporkan aktiviti tugasan mereka dalam sehari umpama sistem buku log supaya pelaksanaan BDR kali ini terus menterjemahkan nilai amanah dan integriti yang dimiliki setiap penjawat awam.

Dalam hal ini waktu respons atau maklum balas yang bersesuaian juga wajar ditetapkan agar pegawai dapat bertindak cepat menyelesaikan tugasan diberikan.

Selain itu, BDR juga menuntut amalan komunikasi yang strategik antara ketua jabatan dan pegawai agar semua urusan kerja, arahan dan maklum balas dapat diuruskan dengan cepat dan cekap dengan menggunakan medium komunikasi yang betul dan tepat.

Hal ini penting dan cukup signifikan untuk diberi perhatian serius. Ini bagi memastikan setiap pegawai memenuhi petunjuk prestasi utama (KPI) ditetapkan.

Ia seperti kata Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar bahawa ketua jabatan juga perlu memastikan penjawat awam memahami makna sebenar; bukan ‘Baring Duduk Rehat’ atau ‘Beli-belah Di Pasar Raya’.

Ketua jabatan perlu memikul amanah dan tanggungjawab dalam memastikan setiap pegawainya melaksanakan BDR mengikut peraturan dan tatacara yang telah ditetapkan.

Pada masa sama penjawat awam yang diberi kemudahan BDR juga perlu menjaga amanah dan integriti masing-masing dan berlaku adil kepada penjawat awam yang tidak layak mendapat BDR.

Pertama, memastikan kita mematuhi semua tatacara dan peraturan yang telah ditetapkan dalam Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia (PPSM) Ceraian SR4.1.2: Dasar BDR terutamanya keperluan mendaftar masuk dalam SPOT-Me setiap satu jam.

Kedua, perlu amanah dalam melaksanakan tugasan yang diberikan yakni benar-benar melaksanakan tugas dengan penuh integriti sepanjang tempoh masa waktu bekerja pada setiap hari BDR tersebut.

Ketiga, kerap melaporkan kemajuan kerja yang sedang dilaksanakan kepada pegawai penyelia dan memastikan output yang diperlukan dapat dihasilkan dengan kualiti yang sama seperti jika bekerja di pejabat.

Keempat, berlaku adil kepada rakan-rakan yang dikecualikan dan tidak layak mendapat kemudahan BDR. Harus diingat mereka akan bertugas seperti biasa di pejabat, justeru kita yang diberi kemudahan BDR perlu sama-sama berjuang seperti mereka tanpa sebarang keculasan atau kecurangan.

Ironinya majoriti penjawat awam sangat dedikasi terhadap tugas dan sentiasa mematuhi peraturan dan berpegang kepada prinsip integriti yang tinggi.

Justeru BDR kali ini juga sebenarnya menyediakan peluang yang terbaik kepada penjawat awam untuk terus membuktikan kepada kerajaan dan rakyat bahawa tahap integriti dalam perkhidmatan kekal kukuh dan arahan bekerja dari rumah sama sekali tidak akan menjejaskan proses penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

Hakikatnya pelaksanaan BDR oleh pihak kerajaan adalah suatu keputusan yang sangat penting sebagai respons terhadap tekanan ekonomi dan keperluan semasa situasi konflik geopolitik dunia.

Kejayaan dan keberkesanan BDR khususnya dalam konteks peningkatan produktiviti secara berterusan serta kelancaran proses penyampaian perkhidmatan kerajaan kepada rakyat banyak bergantung kepada nilai integriti penjawat awam itu sendiri.

Secara prinsipnya keputusan kerajaan membenarkan penjawat awam bekerja dari rumah wajar diterima sebagai satu bentuk pengiktirafan yang tinggi atas rasa yakin dan percaya terhadap integriti, tanggungjawab dan amanah penjawat awam.

Justeru semua penjawat awam yang layak BDR perlu menyahut cabaran ini dan membuktikan kepada kerajaan bahawa penjawat awam juga mampu melaksanakan tugas dengan telus, cekap dan efisien tanpa sedikit pun menjejaskan sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan kepada rakyat.

Sebagai kesimpulan, adalah menjadi tanggungjawab penjawat awam dan setiap ketua jabatan agar dapat menghayati prinsip dan falsafah di sebalik keputusan kerajaan melaksanakan BDR seterusnya menyumbang kepada pencapaian Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA) di bawah Teras 2: Pembangunan Modal Insan, yang menekankan peningkatan produktiviti segenap lapisan penjawat awam.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.


Noor Mohamad bin Shakil Hameed
Timbalan Pengarah (Komunikasi Korporat)
Pusat Strategi Dan Perhubungan Korporat
Universiti Putra Malaysia
e-mel: nmohd77@upm.edu.my

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.