
PUTRAJAYA, 15 April – Sindiket pemalsuan dokumen melibatkan warga asing yang dipercayai meraih keuntungan hingga RM100 juta dalam tempoh tujuh tahun berjaya ditumpaskan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menerusi Op Serkap.
- Sembilan individu berusia 26 hingga 61 tahun ditahan, termasuk dalang utama warga Nepal berumur 43 tahun.
- Sindiket memalsukan pelekat pas dan mengeluarkan pas palsu yang digunakan oleh pekerja sebagai dokumen sah.
- Operasi bermula 14 April selepas risikan enam bulan, melibatkan enam serbuan serentak di sekitar Kuala Lumpur.
- Rampasan termasuk 111 pasport, e-pass diubah suai, pelekat keselamatan, 10 komputer riba, enam telefon dan wang tunai.
Menurut Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban, sembilan individu berusia 26 hingga 61 tahun ditahan, termasuk dalang utama sindiket – seorang lelaki warga Nepal berusia 43 tahun.
“Sindiket ini memproses dokumen tidak sah dengan memalsukan pelekat pas yang kononnya dikeluarkan oleh Imigresen.
“Pekerja terbabit dianggap tidak sah kerana menggunakan dokumen tersebut, dan pas yang dikeluarkan sindiket itu sebenarnya adalah pas palsu,” katanya dalam sidang media di sini.
Operasi bermula pada 14 April hasil risikan selama enam bulan, membabitkan enam serbuan serentak di sekitar Kuala Lumpur.
Pelbagai dokumen imigresen yang diubah suai termasuk e-pass dan pelekat keselamatan berjaya dirampas menerusi serbuan tersebut.
Turut dirampas, 111 pasport pelbagai negara, 10 komputer riba, enam telefon bimbit serta wang tunai.
Menurut Datuk Zakaria, sindiket tersebut dipercayai aktif sejak 2019 dan beroperasi menggunakan syarikat sebagai ‘topeng’ kegiatan haram mereka.
Kes disiasat bawah Akta Imigresen 1959/63, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, Akta Pasport 1966 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA) serta undang-undang berkaitan.
Tindakan penguatkuasaan akan terus dilaksanakan bagi membanteras sebarang bentuk pelanggaran undang-undang termasuk jenayah pemalsuan dokumen imigresen.