
KUALA LUMPUR, 13 April – Pengeluaran getah asli Malaysia merosot 24.1 peratus kepada 21,705 tan pada Februari 2026, berbanding 28,579 tan pada Januari 2026.
- Pekebun kecil menyumbang 87 peratus pengeluaran, estet hanya 13 peratus.
- Stok getah naik 3.3 peratus kepada 139,985 tan, kilang pemproses menyumbang 78.5 peratus stok.
- Eksport susut 20 peratus; China destinasi utama (48.9 peratus) sementara sarung tangan kekal eksport utama bernilai RM0.9 bilion.
Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), berdasarkan perbandingan tahunan, pengeluaran komoditi itu berkurangan sebanyak 39.7 peratus berbanding 36,005 tan pada Februari 2025.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin, dalam kenyataan berkata pengeluaran pada Februari 2026 sebahagian besarnya disumbangkan oleh pekebun kecil dengan 87 peratus, manakala bakinya oleh sektor estet sebanyak 13 peratus.
Menurut DOSM, jumlah stok getah asli meningkat 3.3 peratus kepada 139,985 tan pada Februari 2026 daripada 135,534 tan pada Januari 2026, dengan kilang pemproses getah menyumbang stok sebanyak 78.5 peratus, diikuti oleh kilang pengguna getah (21.4 peratus) dan estet getah (0.1 peratus).
DOSM memaklumkan bahawa eksport getah asli Malaysia menyusut 20 peratus kepada 33,897 tan pada Februari 2026 daripada 42,386 tan pada Januari 2026.
Sementara itu, China kekal sebagai destinasi utama eksport getah asli, iaitu sebanyak 48.9 peratus daripada jumlah eksport pada Februari 2026, diikuti Jerman (17.8 peratus), Emiriah Arab Bersatu (10.1 peratus), Portugal (3.5 peratus) dan Brazil (3.2 peratus).
“Prestasi eksport didorong oleh produk berasaskan getah asli seperti sarung tangan, tayar, tiub dan benang getah.
“Sarung tangan merupakan eksport utama produk berasaskan getah, bernilai RM0.9 bilion pada Februari 2026, susut 23.9 peratus daripada RM1.3 bilion pada Januari 2026,” tambahnya.