
AYER KEROH, 13 April – Dalam menghadapi konflik di Asia Barat, Agrobank memperkenalkan langkah bantuan khas kepada usahawan yang terjejas.
- Agrobank menawarkan langkah bantuan khas bagi usahawan terjejas akibat konflik Asia Barat dan ketidaktentuan ekonomi global.
- Moratorium enam bulan hingga satu tahun ditawarkan kepada peminjam yang memohon dan tidak mampu membayar sepanjang tempoh krisis.
- Bank menyediakan penjadualan semula serta penstrukturan semula pinjaman secara bersasar kepada pelanggan terjejas.
- Bimbingan pengurusan kewangan disediakan, program AUM membantu 30 usahawan catat peningkatan jualan hingga 65.52 peratus melebihi RM5.5 juta.
Moratorium serta bimbingan penstrukturan semula pinjaman ditawarkan bagi membantu mereka menstabilkan kedudukan kewangan dalam suasana ketidaktentuan ekonomi global.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin, berkata pihaknya turut mengenal pasti pelanggan yang terjejas bagi menyalurkan bantuan secara bersasar.
“Bagi mereka yang tidak mampu membayar pinjaman sepanjang tempoh konflik dan ketidaktentuan ekonomi sehingga keadaan kembali pulih, kami menawarkan moratorium antara enam bulan hingga satu tahun kepada peminjam yang membuat permohonan. Selain itu, pihak bank turut membantu dari segi penjadualan semula dan penstrukturan semula pinjaman mereka.
“Bimbingan pengurusan kewangan turut diberikan bagi memastikan usahawan dapat merancang simpanan dan komitmen dengan lebih teratur,” jelas beliau pada Majlis Aspirasi Kecemerlangan Agrobank yang menghimpunkan usahawan di bawah program Agrobank Upward Migration (AUM) di Melaka.
Melalui program itu, 30 usahawan daripada 20 syarikat yang dibimbing berjaya mencatat peningkatan jualan sehingga 65.52 peratus dengan jumlah keseluruhan melebihi 5.5 juta ringgit.