Pembangunan pusat data di Bagan Datuk perkukuh hab teknologi serantau

Datuk Wilson Ugak Kumbong

KUALA LUMPUR, 10 April – Pembangunan pusat data bertaraf tinggi di Bagan Datuk, Perak dilihat sebagai satu langkah penting ke arah memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab pusat data dan teknologi di peringkat serantau.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sejajar dengan hala tuju Negara AI 2030 untuk memperkasa pembangunan dan aplikasi kecerdasan buatan.
  • Pusat data berperanan sebagai tulang belakang kepada AI, pengkomputeran awan dan pemprosesan data berskala besar.
  • Perjanjian EPCC antara Silver Streams dan Inspur bagi pembinaan pusat data mengukuhkan pelaksanaan projek.
  • Projek bernilai RM569 juta memperluas infrastruktur luar Lembah Klang, cipta pekerjaan dan rangsang perniagaan digital.

Timbalan Menteri Digital, Datuk Wilson Ugak Kumbong berkata, perkembangan itu selari dengan hala tuju negara untuk memperkasa Malaysia sebagai sebuah Negara Kecerdasan Buatan (AI) menjelang tahun 2030.

Perkara itu sekali gus, memperkukuh pembangunan infrastruktur digital negara serta mempercepat transformasi ekonomi digital Malaysia.

“Dalam era ekonomi digital masa kini, data telah menjadi aset strategik yang amat bernilai kepada sesebuah negara. Keupayaan untuk mengurus dan memanfaatkan data dengan berkesan menjadi faktor utama dalam menentukan kekuatan ekonomi dan daya saing negara.

“Justeru, pembangunan pusat data moden bukan lagi satu pilihan, tetapi merupakan keperluan asas dalam menyokong pertumbuhan ekonomi digital dan inovasi teknologi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan projek Pusat Data SILVERSTREAMS di Bagan Datuk, Perak yang berlangsung di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur.

Majlis tersebut melibatkan Pemeteraian Perjanjian Kontrak Kejuruteraan, Perolehan, Pembinaan dan Pentauliahan (EPCC) Diantara Silver Streams Technofarm Sdn Bhd Bersama Inspur Communication Malaysia Sdn Bhd Bagi Pembangunan Pusat Data di Bagan Datuk, Perak.

Dalam ucapannya, Datuk Wilson menyebut, pusat data berperanan sebagai tulang belakang kepada teknologi utama seperti kecerdasan buatan (AI), pengkomputeran awan dan pemprosesan data berskala besar.

Keupayaan sesebuah negara membangunkan infrastruktur seumpamanya menjadi penentu kepada tahap daya saing dalam ekonomi digital global, di samping berupaya menarik pelaburan berkualiti tinggi serta mempercepat inovasi teknologi.

“Seiring dengan pencapaian ini, tahun 2026 merupakan tahun yang kritikal dalam mempercepatkan usaha negara ke arah menjadi sebuah Negara AI.

“Fokus utama adalah kepada pendigitalan data sektor awam, pengukuhan kepercayaan dalam ekosistem digital, perlindungan data peribadi serta pemerkasaan GovTech dalam meningkatkan kecekapan penyampaian; perkhidmatan.

“Dalam konteks ini, pusat data menjadi asas utama yang membolehkan teknologi AI dibangunkan dan diaplikasikan secara berskala,” katanya lagi.

Projek yang menelan kos RM569 juta tersebut dijangka memperluas infrastruktur digital di luar Lembah Klang, selain mengukuhkan potensi Perak sebagai lokasi pilihan untuk pelaburan teknologi jangka panjang.

Pada masa sama, mewujudkan manfaat ekonomi yang lebih luas dari masa ke masa dengan menyokong peluang pekerjaan, mengukuhkan keupayaan teknikal dan merangsang aktiviti perniagaan berkaitan merentas perkhidmatan digital, infrastruktur awan, keselamatan siber dan sokongan kemudahan sepanjang tempoh pembinaan dan operasinya.