
TEHRAN, 5 April – Iran berikrar akan membalas dendam terhadap serangan ke atas infrastruktur negaranya, termasuk jambatan dan loji janakuasa dengan tindakan sama.
- Kementerian Luar amaran: angkatan tentera Iran bersedia menyasarkan aset berkaitan Amerika Syarikat sebagai tindak balas terhadap pencerobohan.
- Jurucakap mengutuk serangan terhadap infrastruktur awam sebagai provokasi jenayah yang membahayakan keselamatan rakyat Iran.
- Presiden AS memberi amaran tarikh akhir untuk membuka Selat Hormuz; ancaman serang loji janakuasa dan jambatan jika tidak dipatuhi.
Kementerian Luar Iran memberi amaran bahawa angkatan tentera Iran bersedia untuk menyasarkan aset berkaitan Amerika Syarikat (AS) sebagai tindak balas terhadap sebarang tindakan pencerobohan.
Jurucakap Kementerian Luar, Esmail Baghaei, berkata tindak balas Tehran sebagai timbal balas susulan ancaman terhadap infrastruktur termasuk jambatan, loji janakuasa dan lain-lain.
Esmael mengutuk sasaran terhadap infrastruktur awam sebagai pemikiran jenayah dan provokasi secara terbuka bagi jenayah peperangan. Tegasnya tindakan itu membahayakan keseluruhan rakyat Iran.
Beliau juga berucap kepada orang awam Amerika dan menegaskan konflik semasa adalah ‘perang pilihan’ oleh pentadbiran AS yang tidak mencerminkan kehendak rakyatnya.
Beliau berkata protes di beberapa bandar AS menunjukkan ramai rakyat Amerika menentang kekejaman dan jenayah perang, termasuk serangan ke atas sebuah sekolah rendah.
Sementara itu, Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, berkata tarikh akhir Iran untuk membuka Selat Hormuz atau menghadapi serangan ke atas infrastruktur kritikal ialah malam Selasa (7 April), katanya dalam temu bual dengan Wall Street Journal pada Ahad.
“Jika mereka tidak bertindak sebelum malam Selasa, mereka tidak akan mempunyai sebarang loji janakuasa dan tiada jambatan yang masih utuh,” kata Trump.-REUTERS