
TEHRAN, 6 April – Data trafik kapal menunjukkan pergerakan kapal berhampiran Selat Hormuz antara Jumaat (3 April) dan Ahad (5 April), ketika Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, menetapkan tarikh akhir pada malam Selasa (7 April) pada Iran untuk membuka semula laluan tersebut atau menghadapi serangan ke atas infrastruktur.
- Kapal tangki minyak Iraq melalui Selat Hormuz selepas Tehran mengecualikan Iraq daripada sekatan.
- Kapal Ocean Thunder memuat kira-kira 1 juta tong minyak Basrah Heavy, dijangka tiba di Pengerang pertengahan April.
- Tiga kapal tangki Oman, sebuah kapal kontena Perancis dan kapal pengangkut gas Jepun merentasi Selat Hormuz sejak awal April.
- Trump mengugut serangan ke atas infrastruktur Iran jika Selat Hormuz tidak dibuka; kemudian menyatakan rundingan mungkin mencapai persetujuan.
Pada Ahad, kapal tangki minyak Iraq melalui Selat Hormuz berhampiran pantai Iran sehari selepas Tehran mengecualikan Iraq daripada sekatan, menurut data LSEG dan Kpler.
Menurut data Kpler, kapal Ocean Thunder membawa muatan kira-kira 1 juta tong minyak mentah Basrah Heavy pada 2 Mac dan dijangka tiba di Pengerang, Malaysia pada pertengahan April.
Selain itu, tiga kapal tangki yang dikendalikan Oman, sebuah kapal kontena milik Perancis, dan sebuah kapal pengangkut gas milik Jepun telah merentasi Selat Hormuz sejak Khamis (2 April), menurut data perkapalan. Ia sekali gus mencerminkan dasar Iran yang membenarkan laluan bagi kapal yang dianggap mesra.
Sementara itu, Trump berkata kepada Wall Street Journal pada Ahad bahawa Iran akan kehilangan loji janakuasa dan jambatan jika tidak membuka Selat Hormuz menjelang malam Selasa. Beliau turut membuat hantaran sama di Truth Social, dengan kata-kata kesat.
Bagaimanapun, Trump memberitahu Fox News pada Ahad bahawa Iran sedang berunding dan persetujuan mungkin dicapai menjelang Isnin.
Iran menutup Selat Hormuz laluan bagi kira-kira satu perlima aliran minyak dan LNG global selepas serangan udara Amerika Syarikat dan Israel ke atas Iran pada akhir Februari lalu yang mencetuskan konflik lebih meluas.
Iran membenarkan kapal-kapal yang tidak mempunyai kaitan dengan AS atau Israel untuk melalui laluan tersebut.-REUTERS