
JOHOR BAHRU, 31 Mac – Seorang jurutadbir Majlis Perbandaran Pontian (MPPn) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas lima pertuduhan memperdaya seorang warga emas membabitkan urusan permohonan pembinaan bangunan dua tingkat di Rimba Terjun, Pontian, sejak lima tahun lalu.
- Tertuduh didakwa menipu warga emas dengan mendapatkan cek dan wang tunai RM62,760 untuk mempercepatkan proses permohonan.
- Pendakwaan dikendalikan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan, tertuduh diwakili peguam.
- Mahkamah membenarkan ikat jamin RM10,000 dan menetapkan 7 Mei untuk sebutan semula kes.
Tertuduh, Muhammad Nazri Abu Bakar, 38, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa memperdaya mangsa dengan mendorong lelaki warga emas itu menyerahkan cek dan wang tunai berjumlah RM62,760 bagi tujuan mempercepatkan proses permohonan pembinaan berkenaan.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah premis di Batu 36, Jalan Johor, Pontian antara 19 Nov 2021 hingga 30 Mei 2022.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Muhammad Faziul Kamarulzaman mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan, manakala tertuduh diwakili peguam Mazri Muhammad.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dan menetapkan 7 Mei ini untuk sebutan semula kes.