JSJN Perlis tumpaskan sindiket dadah bernilai RM25.5 juta

Sidang media di Dewan Serbaguna Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis

KANGAR , 30 Mac – Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontinjen Perlis menumpaskan satu rangkaian sindiket pengedaran dadah jenis syabu bernilai RM25.5 juta dengan menahan lima individu termasuk seorang wanita tempatan berusia antara 23 hingga 37 tahun.

RINGKASAN BERITA AI
  • Operasi bersepadu hasil risikan rapi dilaksanakan dalam tiga siri pada 24 hingga 28 Mac.
  • Sindiket mengambil bekalan di kawasan hutan Wang Kelian dan Kaki Bukit melalui laluan haram sebelum transit di Perlis untuk edaran.
  • Polis merampas 20 guni berisi 500 paket syabu, anggaran berat kira-kira 510 kilogram di sekitar Wang Kelian dan Kaki Bukit.
  • Pelbagai kenderaan disita bernilai RM566,200; ujian air kencing empat lelaki positif syabu, wanita negatif; kes disiasat bawah Seksyen 39B.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Datuk Hussein Omar Khan berkata, operasi bersepadu hasil risikan rapi itu dilaksanakan menerusi tiga siri operasi yang dilaksanakan pada 24 hingga 28 Mac lalu.

”Modus operandi sindiket adalah mengambil bekalan dadah di kawasan hutan berhampiran Wang Kelian – Kaki Bukit yang diseludup masuk melalui laluan haram sebelum dibawa ke lokasi transit sekitar Perlis untuk edaran tempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Dewan Serbaguna Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis di sini.

Dalam operasi di sekitar Wang Kelian dan Kaki Bukit, pihak polis berjaya merampas sebanyak 20 guni mengandungi 500 paket plastik berisi dadah disyaki syabu seberat kira-kira 510 kilogram.

Siasatan mendapati sindiket ini aktif sejak Ogos 2025 dengan peranan setiap ahli termasuk sebagai koordinator, penghantar dan peninjau keselamatan.

Pihak polis turut menyita pelbagai kenderaan yang digunakan sindiket melibatkan jumlah keseluruhan RM566,200.

Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati empat suspek lelaki positif dadah jenis syabu, manakala suspek wanita negatif.

Kes disiasat bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Akta Dadah Berbahaya 1952 (Pelucuthakan Harta) 1988.