
KUALA LUMPUR, 25 Mac – Malaysia melonjak empat anak tangga ke kedudukan ke-13 dalam Indeks Keamanan Global 2025 dipacu penurunan 6.4 peratus jenayah indeks serta lebih 9,000 operasi keselamatan di sempadan dan seluruh negara.
- Keberkesanan usaha bersepadu agensi penguatkuasaan di bawah KDN, termasuk peranan aktif PDRM.
- Walaupun ada insiden mengejut, tahap keselamatan negara secara umumnya baik dan terkawal.
- PDRM komited memperkukuh kesiapsiagaan, menambah baik infrastruktur serta memperkemas undang-undang mengikut cabaran semasa.
- Kerajaan memperuntuk lebih RM12 bilion kepada PDRM tahun ini, termasuk RM200 juta untuk perkhidmatan IT dan kuarters.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, pencapaian itu mencerminkan keberkesanan usaha bersepadu agensi penguatkuasaan di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Walaupun terdapat beberapa insiden serta kejadian yang mencetuskan kejutan sepanjang tempoh kajian Mac 2025 hingga Mac 2026, namun tahap keselamatan di bumi bertuah ini pada umumnya masih dalam keadaan baik dan terkawal,” katanya ketika berucap pada Sambutan Peringatan Hari Polis ke-219 di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur pada Rabu.
Hadir sama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil, Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Dalam masa sama, PDRM komited memperkukuh kesiapsiagaan termasuk menaik taraf infrastruktur serta menambah baik undang-undang selaras cabaran semasa.
Kerajaan memperuntukkan lebih RM12 bilion kepada PDRM tahun ini, termasuk RM200 juta untuk meluaskan rangkaian perkhidmatan dan kelengkapan teknologi maklumat di balai polis serta kuarters kediaman di seluruh negara.