
KUALA LUMPUR, 14 Mac –Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) tidak menolak kemungkinan terdapat keperluan untuk menyusun semula misi perdagangan antarabangsanya bagi tahun 2026, susulan konflik semasa di Asia Barat.
- MATRADE sedang menilai perkembangan semasa dan akan menyelaraskan penyertaan pameran antarabangsa untuk memastikan strategi eksport kekal relevan.
- Konflik Asia Barat dijangka menjejaskan perdagangan melalui kenaikan harga minyak, gangguan logistik, laluan maritim lebih jauh dan peningkatan kos insurans.
- MATRADE melaksanakan 203 program sokongan bagi memperkukuh kapasiti dan daya saing sekurang-kurangnya 13,400 syarikat tempatan, terutama PMKS.
Pengerusinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, pihaknya sedang menilai perkembangan semasa sebelum membuat sebarang keputusan bagi memastikan strategi eksport negara kekal relevan.
“Kita akan membuat penyelarasan semula terhadap penyertaan MATRADE dalam pameran-pameran antarabangsa berdasarkan keadaan semasa, kita tidak mahu membuat jangkaan terlalu cepat,” katanya.
“Namun kajian sudah dilakukan dengan mengambil kira senario jangka pendek, sederhana dan panjang, penilaian ini telah dilaksanakan pihak pengurusan ,dan strategi yang bersesuaian akan dimaklum dari semasa ke semasa,” katanya pada majlis Iftar MATRADE pada Rabu.
Mengenai impak terhadap sektor eksport dan sasaran keseluruhan eksport negara pada tahun ini, beliau tidak dapat memberi jangkaan secara spesifik memandangkan perang AS-Iran masih berterusan dan belum menunjukkan tanda-tanda untuk berakhir.
Bagaimanapun, beliau mengakui konflik yang berlaku akan memberi tempias kepada aktiviti perdagangan global dan domestik.
”Kesan akan ada, harga minyak naik, akan ada gangguan logistik dan dari segi laluan maritim yang makin jauh, bayaran insurans yang lebih tinggi, mungkin ada pembatalan atau pesanan oleh tekanan pasaran dan ini semua akan berlaku berdasarkan apa perkembangan yang berlaku di Asia Barat,” tambahnya.
Awal tahun ini, Matrade mengumumkan pelaksanaan 203 program terdiri daripada 150 program pembangunan dan 53 program promosi eksport.
Program-program tersebut bertujuan memberi bantuan dan sokongan strategik kepada sekurang-kurangnya 13,400 syarikat tempatan, khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) bagi memperkukuh kapasiti dan daya saing mereka di peringkat global.