
BELO HORIZONTE, 10 Mac – Bekas penyerang Brazil, Hulk, menjadi antara 23 pemain yang dilayangkan kad merah selepas tercetus pergaduhan besar ketika Atlético Mineiro tewas 0-1 kepada Cruzeiro dalam aksi Campeonato Mineiro pada Ahad.
- Kekecohan bermula selepas pertengkaran antara penjaga gol Everson dan penyerang Christian, berkembang jadi pergaduhan dengan pemain menumbuk dan menendang.
- Insiden memecahkan rekod Brazil, melebihi rekod 1954 yang mencatat 22 kad merah.
- Hulk memohon maaf, kata kejadian itu tidak mencerminkan nilai sukan dan meminta maaf kepada penonton serta kanak-kanak.
Pengadil Matheus Candancan melayangkan kad merah kepada Hulk yang berusia 39 tahun bersama 10 rakan sepasukannya serta 12 pemain Cruzeiro selepas insiden pergaduhan tercetus pada minit ke-96 perlawanan.
Kekecohan dilaporkan bermula selepas berlaku pertengkaran antara penjaga gol Atletico Mineiro, Everson dan penyerang Cruzeiro, Christian sebelum situasi bertukar menjadi pergaduhan besar dengan beberapa pemain dilihat menumbuk dan menendang lawan.
Menurut laman web statistik bola sepak, jumlah itu memecahkan rekod sebelumnya di Brazil iaitu 22 kad merah yang dicatatkan pada 1954.
Hulk kemudian memohon maaf atas insiden berkenaan yang disifatkannya sebagai tidak mencerminkan nilai sukan bola sepak.
“Saya memohon maaf kepada semua yang hadir di stadium, kepada mereka yang menonton di televisyen dan terutama kanak-kanak yang melihat bola sepak sebagai inspirasi.
“Apa yang berlaku bukan contoh yang kita mahu tunjukkan,” kata bekas penyerang FC Porto itu.
Rekod dunia bagi jumlah kad merah terbanyak dalam satu perlawanan pula dicatatkan pada 2011 dalam perlawanan divisyen kelima di Argentina apabila seramai 36 individu dibuang padang.