Kerajaan terus berhati-hati hadapi ketidaktentuan global 2026

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Sim Tze Tzin/RTM

KUALA LUMPUR, 6 Mac -Kerajaan akan terus mengambil pendekatan berhati-hati sepanjang 2026, dengan meneliti setiap perkembangan ekonomi dan geopolitik global bagi memastikan kestabilan Malaysia serta keyakinan pelabur.

RINGKASAN BERITA AI
  • Memantau ketidaktentuan dasar perdagangan dan ketegangan geopolitik Asia Barat yang menekan persekitaran ekonomi antarabangsa.
  • Malaysia kekal stabil dari segi politik, menjadikan negara dan ASEAN destinasi pilihan pelaburan.
  • Pendedahan Malaysia kepada Iran sangat minima, perdagangan menyumbang sekitar 0.09 peratus daripada jumlah negara.
  • Menunggu kejelasan Amerika Syarikat berhubung Perjanjian Perdagangan Timbal Balas sebelum membuat keputusan mengenai tarif tambahan.

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Sim Tze Tzin, langkah itu termasuk melihat ketidaktentuan dasar perdagangan serta ketegangan geopolitik di Asia Barat yang memberi tekanan kepada persekitaran ekonomi antarabangsa.

“Semua negara di dunia kini berdepan cabaran yang belum pernah berlaku sebelum ini, dan Malaysia juga tidak terkecuali. Kita terus memantau keadaan dengan teliti dan bertindak secara berhati-hati.

Namun begitu, Malaysia masih kekal stabil dari segi politik, dan kestabilan serantau serta keamanan menjadikan Malaysia dan ASEAN sebagai destinasi pilihan pelaburan. Saya kekal optimistik secara berhati-hati bagi tahun 2026,” katanya kepada pemberita selepas mengumumkan prestasi pelaburan Malaysia bagi tahun 2025, di sini.

Mengenai impak gas asli cecair (LNG) dan konflik di Asia Barat, beliau berkata Malaysia hanya mempunyai pendedahan minima terhadap Iran.

Jelas beliau, perdagangan Malaysia dengan Iran setakat ini hanya menyumbang 0.09 peratus daripada jumlah perdagangan negara.

“Jumlah perdagangan keseluruhan dengan Iran ialah RM2.45 bilion, di mana eksport berjumlah RM2.17 bilion manakala import hanya RM0.28 bilion. Seperti yang dapat dilihat, pendedahan Malaysia adalah sangat minima. LNG juga tidak termasuk dalam lima barangan utama yang diperdagangkan,” jelas beliau.

Mengulas mengenai status Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART), beliau berkata, Malaysia masih menunggu kejelasan daripada Amerika Syarikat sebelum membuat sebarang keputusan lanjut berhubung tarif tambahan 10 peratus ke atas semua import ke AS.