Sektor hartanah perlu sokong matlamat pembangunan negara, bukan fokus keuntungan semata-mata

Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong bercakap kepada media selepas Simposium Penyelidikan Hartanah Antarabangsa (IRERS) 2026 bertempat di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur/Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 12 Mei – Sektor hartanah perlu menyokong matlamat ekonomi dan pembinaan negara secara keseluruhan, bukan hanya menumpukan kepada pembangunan perumahan yang didorong keuntungan semata-mata, kata Timbalan Menteri, Kewangan Liew Chin Tong.

RINGKASAN BERITA AI
  • Ubahsuai bangunan pejabat kosong menjadi kediaman untuk menghidupkan semula kawasan pusat bandar.
  • Bangunkan lebih perumahan pusat bandar melalui pemilikan, sewaan atau model hibrid untuk menjadikan bandar aktif 24 jam.
  • Tambah stok perumahan supaya jurutera muda dapat tinggal selesa dan terus menyokong industri semikonduktor.
  • Berhati-hati terhadap risiko gelembung hartanah; pengalaman Jepun, Asia dan Krisis Kewangan Global menunjukkan kesan jangka panjang.

Beliau berkata sektor berkenaan perlu memainkan peranan dalam menangani cabaran nasional yang lebih besar, termasuk kemampuan memiliki rumah, perebakan bandar, pengekalan bakat tempatan serta kebergantungan kepada kenderaan persendirian.

“Kalangan pemaju hartanah tidak seharusnya melihat sektor itu sebagai komponen paling penting dalam ekonomi, sebaliknya perlu memahami peranannya dalam memenuhi tujuan awam yang lebih luas dalam proses pembangunan negara,” katanya dalam ucaptama ketika merasmikan Simposium Penyelidikan Hartanah Antarabangsa (IRERS) 2026 di sini, hari ini.

Tambah Liew, lebih banyak perumahan perlu dibangunkan di kawasan pusat bandar melalui model pemilikan, sewaan atau hibrid bagi menggalakkan lebih ramai penduduk menetap di kawasan berkenaan, sekali gus membantu menjadikannya bandar yang lebih aktif 24 jam sehari.

“Saya berharap banyak bangunan kosong ini dapat diubah suai menjadi kediaman untuk rakyat Malaysia. Ia mengambil masa 50 tahun untuk Kuala Lumpur dan Malaysia mencapai tahap pembangunan bandar yang begitu meluas.

“Mungkin memerlukan 10 hingga 20 tahun lagi untuk membalikkan trend ini dan menghidupkan semula kawasan pusat bandar,” katanya.

Mengulas mengenai peranan sektor hartanah, beliau yang menjadikan Pulau Pinang sebagai contoh berkata pemaju tidak seharusnya hanya menumpukan kepada pembinaan rumah untuk pembeli asing, sebaliknya turut menyokong industri semikonduktor bagi mengukuhkan ekonomi negara.

“Antara caranya ialah dengan menambah stok perumahan supaya jurutera muda dapat tinggal dengan selesa, sama ada melalui pemilikan, sewaan atau perumahan yang disediakan syarikat.

“Perumahan boleh membantu mengekalkan lebih ramai rakyat Malaysia, khususnya jurutera muda tempatan, untuk terus bekerja dalam industri semikonduktor Malaysia,” katanya.

Liew berkata Malaysia perlu meneroka model baharu, termasuk menukar bangunan pejabat kosong di Kuala Lumpur menjadi perumahan seperti yang dilaksanakan di Eropah dan Amerika Syarikat.

“Kita bukan hanya bercakap mengenai perumahan untuk golongan miskin. Kita juga bercakap mengenai perumahan untuk golongan muda dan kelas pertengahan,” katanya.

Beliau turut mengingatkan mengenai risiko gelembung hartanah berkata andaian bahawa harga hartanah akan terus meningkat boleh membawa kesan buruk.

Beliau berkata sebagai contoh isu gelembung hartanah Jepun pada 1990 dan 1991 yang kesannya berlarutan selama beberapa dekad, selain Krisis Kewangan Global 2008 yang bermula sebagai krisis subprima berkaitan hartanah telah memberi kesan besar di peringkat global.

“Berdasarkan pengalaman kita sendiri, Krisis Kewangan Asia 1997 masih memberi kesan sehingga hari ini. Oleh itu, kita perlu sangat berhati-hati dalam menguruskan sektor ini,” katanya.