
KUALA LUMPUR, 12 Mei- Harga emas dijangka melonjak, disasarkan mencecah paras AS$5,600 setiap auns troy menjelang akhir 2026 (AS$1=RM3.92), di tengah-tengah konflik geopolitik yang berpanjangan di Asia Barat, ketidaktentuan makroekonomi dan permintaan bank pusat yang berterusan.
- Fundamental sokong harga emas kekal utuh, dengan permintaan dari pelabur institusi, runcit dan sektor rasmi menyokong momentum logam berharga.
- Konflik Asia Barat dan harga minyak lebih tinggi meningkatkan risiko kepada ramalan; pertumbuhan global lemah dan potensi pemotongan kadar AS menyokong permintaan emas.
- Bank pusat terus diversifikasi rizab kepada emas, manakala permintaan fizikal Asia, khususnya China, kekal kukuh dan penyatuan harga beri peluang pembelian.
Pakar strategi logam berharga UBS Investment Bank, Joni Teves berkata pemacu asas yang menyokong harga emas kekal utuh walaupun pasaran mengalami penyatuan baru-baru ini, dengan permintaan kepelbagaian daripada pelabur institusi, runcit dan sektor rasmi terus menyokong momentum logam berharga itu.
“Kami telah mengekalkan prospek kenaikan harga emas kami memandangkan kami masih berpendapat bahawa harga boleh pulih daripada paras semasa dan menghala ke paras tertinggi baharu pada tahun ini,” kata Teves semasa panggilan media maya hari ini.
Harga minyak yang lebih tinggi akibat konflik Asia Barat turut mewujudkan risiko peningkatan yang semakin memuncak kepada ramalan harga emas jangka sederhana dan panjang.
Selain itu, persekitaran pertumbuhan global yang lebih lemah, digabungkan dengan kencenderungan Rizab Persekutuan Amerika Syarikat untuk menurunkan kadar faedah boleh memanjangkan kitaran lonjakan nilai emas dalam beberapa tahun akan datang.
Teves berkata pasaran akan memerhatikan faktor-faktor utama tentang bagaimana campuran pertumbuhan inflasi berkembang, terutamanya pada separuh kedua tahun ini, apabila pelabur menilai kesan ekonomi daripada kenaikan harga tenaga.
Beliau seterusnya berkata jika kadar faedah sebenar terus ditekan oleh prospek, yang didorong oleh peningkatan inflasi, manakala hasil nominal kekal tidak berubah, kesemua ini akan mewujudkan latar belakang yang akan menyokong harga emas.
Oleh itu, beliau berkata tempoh penyatuan harga emas semasa boleh memberikan pelabur peluang untuk membina kedudukan sebagai lindung nilai terhadap kadar sebenar yang lebih lemah.
Teves ketika mengulas mengenai permintaan bank pusat berpendapat institusi rasmi mungkin tidak mengurangkan pegangan emas berikutan turun naik pasaran baru-baru ini, dengan menyatakan trend yang lebih luas bagi kepelbagaian rizab kepada emas berkemungkinan akan berterusan.
Manakala itu, beliau berkata permintaan fizikal untuk emas juga kekal menyokong, terutamanya di Asia, yang mana permintaan pelaburan telah mengimbangi pembelian barang kemas yang lebih lemah di tengah-tengah rekod harga yang tinggi.
Sentimen di China kekal positif, dengan permintaan kukuh direkodkan terutamanya pada suku pertama tahun.
Mengenai perak, beliau berkata UBS juga menjangkakan prospek yang positif, dengan sasaran mencecah melebihi US$100 setiap auns troy menjelang hujung tahun ini, menjejaki arah aliran dalam pasaran emas.
“Kami menjangkakan minat terhadap perak menjadi lebih taktikal, berbeza dengan kedudukan yang lebih strategik dalam emas.
“Permintaan fizikal yang mantap dari China, yang mana penstokan semula dan aliran pelaburan fizikal mempunyai ruang untuk diteruskan, juga sewajarnya membantu menyokong sentimen pelabur global,” katanya.
Bagaimanapun, beliau menambah bahawa perak boleh berprestasi rendah berbanding emas jika pertumbuhan ekonomi menjadi perlahan dan ini akan menjejaskan permintaan industri. – BERNAMA