Ernie Zakri & Syamel lancar ‘Suasana Raya’ kolaborasi bersama Hong Kong Tourism

Ernie Zakri dan Syamel

KUALA LUMPUR, 3 Mac – Menjelang sambutan Aidilfitri yang dinanti-nantikan, dua figura tersohor industri muzik tanah air, Ernie Zakri dan Syamel, kembali berganding bahu menerusi single raya terbaharu berjudul ‘Suasana Raya’.

RINGKASAN BERITA AI
  • Ernie Zakri dan Syamel lancar single raya 'Suasana Raya' yang menggabungkan melodi tradisi dan sentuhan moden.
  • Kolaborasi eksklusif dengan Hong Kong Tourism Board, rakaman video di lokasi mesra Muslim di Hong Kong.
  • Sesi tontonan awal di Aurum Theatre bersama hampir 100 peminat, termasuk pembelajaran koreografi bersama artis.
  • Video turut jadi pengalaman keluarga; anak mereka hadir, menjadikan penggambaran seperti percutian bermakna.

Lebih istimewa, karya penuh keceriaan ini hadir dengan kolaborasi eksklusif bersama Hong Kong Tourism Board, yang menyaksikan penggambaran video muzik dilakukan di beberapa lokasi menarik serta destinasi mesra Muslim sekitar Hong Kong.

Menggabungkan melodi klasik raya dengan sentuhan moden, ‘Suasana Raya’ tampil dengan lirik menyentuh jiwa yang menggambarkan ketenangan pagi Syawal, rasa syukur dan kehangatan kebersamaan keluarga.

Keserasian vokal Ernie dan Syamel yang sememangnya tidak perlu dipertikaikan menjadikan lagu ini cukup menyentuh perasaan, sekali gus berpotensi menjadi runut bunyi wajib setiap kali Aidilfitri menjelang tiba.

Menurut Ernie, pemilihan Hong Kong sebagai lokasi penggambaran bukan sekadar latar visual semata-mata, malah bersesuaian dengan konsep lagu yang meraikan kepelbagaian dan keterbukaan budaya.

Antara lokasi yang sempat mereka kunjungi termasuk Islamic Centre Canteen yang terkenal dengan pilihan makanan halal serta Kowloon Mosque sebagai destinasi ibadah utama komuniti Muslim di sana.

Mereka juga berpeluang meluangkan masa bersama keluarga di taman tema popular, Ocean Park Hong Kong.

“Hong Kong sangat sesuai kerana ia Muslim-friendly dan memudahkan kami mencari pelbagai pilihan makanan halal. Kami juga dapat melawat tempat ibadah dan menikmati tarikan pelancongan mesra keluarga. Ia pengalaman yang sangat bermakna,” jelas Ernie.

Bagi Syamel pula, suasana bandar Hong Kong yang vibrant dan dinamik memberi inspirasi kepada keseluruhan konsep video muzik tersebut. “Kami mahu peminat rasa vibe yang sama meriah, penuh warna dan moden, tetapi masih mengekalkan elemen tradisional raya,” katanya.

Sebagai tanda penghargaan kepada peminat setia, pasangan ini turut menganjurkan sesi tontonan awal video muzik ‘Suasana Raya’ pada 17 Februari lalu di Aurum Theatre.

Hampir 100 peminat bertuah bukan sahaja berpeluang menonton tayangan eksklusif sebelum pelancaran rasmi, malah turut mempelajari koreografi lagu tersebut bersama Ernie dan Syamel, menjadikan sesi tersebut lebih intim dan bermakna.

“Hari ini memang special sebab dapat kongsi momen ini dengan peminat sebelum release. Sokongan merekalah yang paling kami hargai,” ujar Ernie penuh terharu.

Dikenali dengan lagu-lagu balada beremosi, Ernie mengakui ‘Suasana Raya’ memberikan pengalaman rakaman yang berbeza dan lebih santai. Syamel turut menyifatkan kekuatan lagu ini terletak pada melodinya yang catchy serta mudah melekat di hati pendengar.

“Kami menyanyi dalam keadaan tersenyum supaya kegembiraan itu benar-benar sampai kepada semua,” katanya.

Lebih manis, penggambaran video muzik ini turut menjadi memori indah buat keluarga mereka apabila anak tersayang, Khawla, dibawa bersama sepanjang proses rakaman.

“Ia terasa seperti percutian keluarga, bukan sekadar kerja,” kongsi Syamel.

Dengan semangat kebersamaan dan keceriaan yang dibawakan, kedua-dua artis berharap ‘Suasana Raya’ akan terus dimainkan saban tahun dan menjadi antara lagu yang menemani detik-detik indah Aidilfitri rakyat Malaysia.

‘Suasana Raya’ kini boleh didengarkan di semua platform penstriman digital.