
SEOUL, 27 Ogos – Seorang anggota polis Korea Selatan ditahan susulan dakwaan menutup beberapa kes orang hilang di Pulau Jeju secara palsu dan membuat siasatan secara pramatang, selepas empat individu yang sebelum ini dilaporkan hilang ditemukan meninggal dunia dalam tempoh tiga hari.
- Pegawai berusia 35 didakwa mengabaikan tugas, memalsukan rekod elektronik dan menghalang tugas pihak berkuasa.
- Siasatan mendapati sekurang-kurangnya dua kes dilaporkan ditutup tanpa pengesahan mangsa berada dalam keadaan selamat.
- Polis menyemak 298 laporan orang hilang yang dikendalikan Bu dalam kira-kira 17 bulan.
- Presiden Lee Jae Myung arah siasatan menyeluruh dan minta pembaharuan asas serta peningkatan akauntabiliti polis.
Pegawai berusia 35 tahun yang hanya dikenal pasti dengan nama Bu itu ditahan pada Selasa atas dakwaan mengabaikan tugas, memalsukan rekod elektronik rasmi dan menghalang tugas pihak berkuasa melalui cara yang tidak wajar.
Penahanan itu dibuat selepas siasatan mendapati sekurang-kurangnya dua kes orang hilang dipercayai ditutup tanpa pengesahan bahawa mangsa berada dalam keadaan selamat.
Susulan itu, polis menyemak kesemua 298 laporan orang hilang yang pernah dikendalikan Bu sepanjang kira-kira 17 bulan ketika bertugas dalam pasukan pengendalian orang hilang.
Daripada jumlah itu, kira-kira 10 kes sedang diteliti bagi mengenal pasti kemungkinan berlaku penutupan kes secara tidak wajar.
Antara kes yang mencetuskan perhatian ialah kehilangan Jang Mi-ran, 37, yang dilaporkan hilang pada Mei lalu.
Mayat wanita itu ditemukan pada Isnin, 104 hari selepas dilaporkan hilang, di kawasan ladang palma berhampiran tempat penginapannya di Jeju.
Dalam satu lagi kes, seorang lelaki berusia 60-an turut ditemukan meninggal dunia selepas keluarganya membuat laporan kehilangan semula dan operasi pencarian dijalankan.
Bu didakwa menutup kedua-dua kes berkenaan selepas mendakwa sudah menghubungi mangsa, namun polis gagal menemukan rekod yang membuktikan komunikasi itu berlaku.
Kes berkenaan mencetuskan kemarahan awam selepas empat individu yang dilaporkan hilang ditemukan meninggal dunia di beberapa lokasi di Jeju dalam tempoh tiga hari.
Susulan kontroversi itu, Presiden Korea Selatan, Lee Jae Myung, mengarahkan siasatan menyeluruh terhadap pengendalian kes berkenaan serta meminta pembaharuan asas dalam pasukan polis.
Dalam mesyuarat Kabinet pada 25 Ogos, Lee turut menegaskan keperluan meningkatkan akauntabiliti polis, khususnya ketika pasukan berkenaan bakal memainkan peranan lebih besar dalam siasatan jenayah susulan pembaharuan undang-undang di negara itu.
Pihak polis turut menjalankan pemeriksaan terhadap sistem pengendalian kes orang hilang bagi memastikan kes tidak boleh ditutup tanpa pengawasan dan kelulusan sewajarnya. – REUTERS