
ISLAMABAD, 27 Ogos – Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) bersedia membantu pihak berkuasa Pakistan dalam apa jua cara yang diperlukan, susulan kebakaran di sebuah hospital di Islamabad yang mengorbankan 14 bayi baru lahir, pada Rabu.
- 14 bayi baru lahir terkorban dalam kebakaran di wad ibu dan anak PIMS.
- Kebakaran dipercayai bermula selepas letupan unit penyaman udara, dengan kandungan oksigen tinggi mempercepatkan penyebaran api.
- Insiden mendedahkan kelemahan sistem penjagaan kesihatan awam Pakistan seperti kekurangan sumber, kesesakan, penyelenggaraan dan kesiapsiagaan kecemasan.
Jurucakap PBB, Stephane Dujarric, menyifatkan kejadian itu sebagai tragedi yang menyayat hati dan menyampaikan simpati kepada ibu bapa bayi yang terkorban.
“Di tengah-tengah tragedi ini, hakikat bahawa begitu ramai bayi baru lahir terkorban hanya menambah kesakitan yang tidak dapat dibayangkan kepada ibu bapa mereka,” katanya kepada pemberita dalam taklimat di New York.
Kebakaran berlaku kira-kira pukul 7 pagi waktu tempatan di Pakistan Institute of Medical Sciences (PIMS), membabitkan tingkat tiga wad kesihatan ibu dan anak.
Menurut laporan media tempatan, kebakaran itu bermula selepas berlaku letupan pada unit penyaman udara.
Menteri Kesihatan Pakistan, Mustafa Kamal berkata, kandungan oksigen yang tinggi di dalam wad turut menyebabkan api merebak dengan pantas.
Media tempatan turut melaporkan jumlah kematian mencecah 15 orang, manakala PBB menyatakan 14 bayi baru lahir terkorban dalam kejadian itu.
Kebakaran berkenaan antara insiden paling dahsyat membabitkan hospital di Pakistan dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Sistem penjagaan kesihatan kerajaan di negara itu menyediakan perkhidmatan bersubsidi, namun sebahagian kemudahannya berdepan kekurangan sumber dan kesesakan.
Kemudahan kesihatan awam di Pakistan juga sering menerima kritikan daripada badan pemantau berhubung isu pengurusan serta penyelenggaraan yang lemah, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai aspek keselamatan dan kesiapsiagaan menghadapi kecemasan. – REUTERS