
LONDON, 27 Ogos – Polis Metropolitan London memperluas penggunaan basikal elektrik (e-basikal) berkelajuan tinggi bagi membanteras jenayah jalanan, khususnya kes kecurian telefon bimbit di ibu negara Britain itu.
- 20 e-basikal baharu mampu capai 80 km sejam, meningkatkan keupayaan pengejaran anggota polis.
- E-basikal membolehkan pengejaran di laluan sempit dan tangga sukar diakses kenderaan polis biasa.
- Penggunaan e-basikal dikaitkan dengan penurunan kes kecurian telefon dari kira-kira 68,000 ke 54,000 dalam 12 bulan.
Sebanyak 20 e-basikal baharu dikerahkan dalam operasi berkenaan, dengan setiap basikal mampu mencapai kelajuan sehingga 80 kilometer sejam.
Keupayaan itu membolehkan anggota polis mengejar suspek bukan sahaja di jalan raya, malah di laluan sempit dan tangga yang sukar dimasuki kenderaan polis biasa.
Pegawai kanan Polis Metropolitan menyifatkan penggunaan e-basikal itu sebagai pemangkin perubahan dalam usaha membanteras jenayah kecurian yang semakin berleluasa.
Penggunaan e-basikal khususnya, berjaya membantu menangani kes kecurian telefon bimbit, dengan statistik menunjukkan jumlah kes dalam tempoh 12 bulan hingga Mei lalu menurun daripada kira-kira 68,000 kepada 54,000 kes.
Timbalan Datuk Bandar London bagi Polis dan Jenayah, Kaya Comer-Schwartz berkata, usaha membanteras kecurian telefon perlu dilaksanakan seiring dengan penambahbaikan sistem keadilan jenayah serta sokongan kepada mangsa.
Menurutnya, pendekatan lebih menyeluruh diperlukan bagi memastikan usaha menangani jenayah bukan sahaja memberi tumpuan kepada suspek, tetapi turut melindungi dan membantu mangsa. – REUTERS