Pentaksiran berasaskan sekolah bolehkan penilaian berterusan, pantau penguasaan murid

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh / Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 24 Februari – Kementerian Pendidikan terus memperkasa Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang merangkumi Pentaksiran Bilik Darjah (PBD), Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK), Pentaksiran Psikometrik (PPsi) serta Pentaksiran Pusat.

RINGKASAN BERITA AI
  • PBS diperkasa termasuk PBD, PAJSK, PPsi dan Pentaksiran Pusat untuk penilaian menyeluruh di sekolah.
  • Guru dan sekolah membuat penilaian berterusan untuk memantau perkembangan serta tahap penguasaan murid.
  • PBD membuktikan keberkesanan memantau pencapaian murid tanpa kebergantungan pada peperiksaan pusat.
  • Penyertaan kokurikulum meningkat ketara, menunjukkan penglibatan murid lebih tinggi dalam aktiviti sekolah.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata menerusinya, guru dan pihak sekolah dapat membuat penilaian secara berterusan bagi memantau perkembangan dan tahap penguasaan murid.

“PBD telah menunjukkan keberkesanan dalam memantau perkembangan dan pencapaian murid secara berterusan serta memberikan asas kukuh bagi kecemerlangan akademik walaupun tanpa peperiksaan pusat seperti UPSR dan PT3,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dalam sesi soal jawab pada persidangan Dewan Rakyat.

Jelasnya, keberkesanan PBS dibuktikan menerusi prestasi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang menyaksikan Gred Purata Kebangsaan (GPK) bertambah baik kepada 4.49 pada 2024 berbanding 4.60 (2023) dan 4.74 (2022).

Penyertaan murid dalam aktiviti kokurikulum juga mencatatkan peningkatan kepada 99.81 peratus bagi sesi 2024/2025 berbanding sesi 2023/2024 (84.45 peratus).