Perjanjian kerajaan dengan ARM Holdings akan diteruskan bagi pacu sektor semikonduktor

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir (tengah) menyempurnakan Majlis Pelancaran Banci Ekonomi 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini/ BERNAMA

PUTRAJAYA, 23 Februari – Kerjasama strategik Malaysia dengan firma semikonduktor global, ARM Holdings dari United Kingdom akan diteruskan seperti diputuskan Kabinet bagi memastikan agenda pembangunan industri cip negara tidak terjejas.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerjasama strategik dengan ARM Holdings diteruskan mengikut mandat Kabinet untuk pastikan pembangunan industri cip negara tidak terjejas.
  • Kementerian beri kerjasama penuh kepada siasatan SPRM termasuk penyediaan dokumen berkaitan.
  • Akses kepada harta intelek (IP) dibuka untuk kembangkan penglibatan syarikat tempatan dalam reka bentuk cip.
  • Perjanjian 10 tahun sasar pembangunan 10,000 bakat dan peralihan ke segmen front end bernilai tambah tinggi.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata kementeriannya turut memberi kerjasama penuh kepada siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), termasuk penyediaan dokumen berkaitan.

“Keputusan negara menjalinkan hubungan dengan ARM Holdings ini adalah keputusan mandat daripada Kabinet. Maka sudah pasti segala proses ini kita teruskan, termasuk akses kepada harta intelek (IP) untuk membolehkan pemain industri semikonduktor kita terlibat dalam reka bentuk cip,” katanya kepada media selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Banci Ekonomi 2026 di sini, hari ini.

Tegasnya, perjanjian itu penting bagi membolehkan akses kepada harta intelek (IP) untuk mengembangkan penglibatan syarikat tempatan dalam reka bentuk cip.

Menurut beliau, Malaysia kini berada di kedudukan keenam dunia dalam rantaian semikonduktor, namun masih tertumpu kepada segmen ‘back-end’ seperti pemasangan dan pembungkusan.

Kerjasama ini membuka ruang peralihan ke segmen ‘front end’, khususnya reka bentuk cip bernilai tambah lebih tinggi, selari Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Setakat ini, dua syarikat tempatan telah ditawarkan akses IP, manakala komitmen perjanjian selama 10 tahun itu turut menyasarkan pembangunan 10,000 bakat dalam bidang penciptaan cip.

Fokus ketika ini adalah memastikan pelaksanaan memberi hasil nyata serta mengekalkan keyakinan pelabur terhadap daya saing Malaysia dalam rantaian bekalan semikonduktor global.