SK Kiaramas perintis gelanggang padel pertama sekolah rendah

Persatuan Padel Malaysia (MPA) melancarkan gelanggang padel pertama di sekolah rendah. – Foto MPA

KUALA LUMPUR, 12 Mei – Persatuan Padel Malaysia (MPA) terus mempergiat pembangunan sukan padel di peringkat akar umbi menerusi pelancaran gelanggang padel pertama di sekolah rendah negara ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Memberi pendedahan awal padel kepada murid, menggalakkan gaya hidup sihat dan menyediakan platform pembangunan bakat muda.
  • Projek direalisasikan hasil kerjasama sekolah, PIBG, MPA, KPM, KBS dan Jabatan Pendidikan WP Kuala Lumpur serta penajaan presiden MPA.
  • SK Kiaramas dipilih sebagai sekolah perintis dan menjadi model rujukan, menyediakan kemudahan untuk membina keyakinan, disiplin dan potensi murid.

Gelanggang padel Sekolah Kebangsaan (SK) Kiaramas itu adalah inisiatif bersejarah dalam memperkenalkan sukan padel kepada generasi muda.

MPA dalam satu kenyataan memaklumkan, langkah penting itu juga bagi memberi peluang kepada murid mengenali sukan berkenaan dalam suasana lebih aktif dan menyeronokkan.

Projek berkenaan direalisasikan menerusi kerjasama antara pihak sekolah, persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) serta MPA dengan sokongan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Majlis pelancaran gelanggang padel SK Kiaramas disempurnakan Presiden MPA, Tengku Datuk Seri Abu Bakar Ahmad Tengku Tan Sri Abdullah. Foto MPA

Menurut MPA, pembinaan gelanggang tersebut ditaja Presidennya, Tengku Datuk Seri Abu Bakar Ahmad Tengku Tan Sri Abdullah sebagai sebahagian komitmen berterusan memperluas pembangunan sukan padel di negara ini.

Antara objektif utama pelaksanaan projek itu termasuk memberi pendedahan awal kepada murid terhadap sukan alternatif, menggalakkan gaya hidup sihat serta menyediakan platform pembangunan bakat muda ke peringkat lebih tinggi.

SK Kiaramas dipilih sebagai sekolah perintis pembangunan padel di peringkat sekolah rendah dan dijangka menjadi model rujukan kepada institusi pendidikan lain dalam memperkenalkan kemudahan sukan baharu.

SK Kiaramas dipilih sebagai sekolah perintis pembangunan padel di peringkat sekolah rendah. – Foto MPA

Yang Dipertua PIBG SK Kiaramas, Muhammad Zufrin Mohammad berkata, gelanggang berkenaan bukan sekadar kemudahan sukan, malah platform membentuk keyakinan, disiplin dan potensi murid.

“Ini bukan sekadar gelanggang, tetapi platform untuk membina keyakinan, disiplin dan potensi anak-anak kita ke tahap yang lebih tinggi,” katanya.

Majlis pelancaran gelanggang itu disempurnakan Tengku Datuk Seri Abu Bakar serta dihadiri wakil MPA, pihak sekolah, PIBG, penaja dan komuniti setempat.