
PUTRAJAYA, 12 Mei – Orang ramai digalakkan memuat turun aplikasi RTM Klik untuk menonton Piala Dunia FIFA 2026 secara percuma.
- Piala Dunia 2026 diberikan secara percuma kepada rakyat Malaysia buat pertama kali dalam 20 tahun.
- RTM dan Unifi TV diumum penyiar rasmi; siaran melalui MyTV percuma serta OTT RTM Klik dan Unifi TV untuk capaian menyeluruh.
- Penyiaran melibatkan kerjasama strategik dengan sektor swasta untuk memperkukuh kualiti siaran dan capaian penonton.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, aplikasi berkenaan akan memudahkan rakyat Malaysia untuk menyaksikan kejuaraan bola sepak terbesar dunia itu secara langsung.
“Saya minta supaya nanti diteliti untuk pastikan tidak ada halangan yang keterlaluan untuk rakyat Malaysia menikmati tayangan siaran langsung. Ada 104 permainan bagi World Cup tahun ini tapi kali ini kita berikan secara percuma,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perhimpunan Kementerian Komunikasi Bulan Mei 2026 di sini, hari ini.

Bagi edisi kali ini, Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Unifi TV diumumkan sebagai penyiar rasmi Piala Dunia FIFA 2026.
Semua perlawanan akan disiarkan menerusi pelbagai platform termasuk siaran percuma melalui MyTV serta platform OTT menerusi RTM Klik dan Unifi TV bagi memastikan akses menyeluruh kepada penonton di seluruh negara.
Kesemua 104 perlawanan akan disiarkan secara langsung di Unifi TV, manakala RTM akan menyiarkan sebahagian besar perlawanan sama ada secara langsung atau tertunda.
Penyiaran kejohanan itu turut melibatkan kerjasama strategik dengan sektor swasta bagi memperkukuh kualiti siaran serta capaian penonton.