MBAS terima Anugerah Bandar Rendah Karbon 3 Diamond

FOTO MBAS

ALOR SETAR, 13 Februari – Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) menerima Anugerah Bandar Rendah Karbon (3 Diamond) bagi kategori Tenaga dan Air menerusi inisiatif Low Carbon City Challenge 2030 yang dilaksanakan di Pejabat MBAS.

RINGKASAN BERITA AI
  • MBAS menerima Anugerah Bandar Rendah Karbon 3 Diamond bagi kategori Tenaga dan Air melalui inisiatif Low Carbon City Challenge 2030.
  • Pengiktirafan diberikan kepada PBT, pemaju, universiti, pemilik bangunan dan pihak berkepentingan atas usaha kurangkan pelepasan karbon.
  • Penghargaan mengukuhkan komitmen MBAS menjadikan Alor Setar bandar rendah karbon, mampan dan berdaya huni menjelang 2030.

Anugerah tersebut disampaikan oleh Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Arthur Joseph Kurup kepada Setiausaha MBAS, Mohamad Shahuri Mohamad Norlin pada satu majlis yang berlangsung di sebuah hotel di Kuala Lumpur.

Pengiktirafan berkenaan diberikan kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), pemaju, universiti, pemilik bangunan serta pihak berkepentingan sebagai tanda penghargaan terhadap usaha mengurangkan pelepasan karbon dan memperkukuh agenda kelestarian alam sekitar.

Penganugerahan itu sekali gus membuktikan komitmen berterusan MBAS dalam merealisasikan Alor Setar sebagai bandar rendah karbon, mampan dan berdaya huni menjelang tahun 2030.

Sementara itu, Datuk Bandar Alor Setar, Datuk Abdul Gafar Yahya ketika dihubungi RTM menyifatkan pengiktirafan tersebut sebagai satu pencapaian membanggakan dan menjadi pemangkin untuk mempergiat usaha ke arah pembangunan lestari di bandar raya itu.