
KOTA BHARU, 11 Februari – Sebanyak 62 pangkalan haram berstruktur di tanah kerajaan di sepanjang sempadan Kelantan telah dirobohkan setakat ini dalam usaha membanteras aktiviti penyeludupan dan kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI).
- 62 pangkalan haram berstruktur di tanah kerajaan sepanjang sempadan Kelantan telah dirobohkan setakat ini.
- Operasi perobohan dijalankan secara berperingkat, termasuk tambahan lapan pangkalan yang dirobohkan semalam.
- Tindakan itu sebahagian usaha berterusan polis bersama agensi keselamatan memperketat kawalan sempadan dan mengekang penyeludupan.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, operasi perobohan dilakukan secara berperingkat termasuk tambahan lapan lagi pangkalan haram yang dirobohkan semalam.
“Sebelum ini sebanyak 54 pangkalan haram telah dirobohkan. Semalam kita sambung lagi dengan lapan pangkalan haram berstruktur di tanah kerajaan, menjadikan keseluruhan 62 telah dirobohkan.
“Bakinya akan diteruskan hari ini sehingga selesai sepenuhnya dan kini kita menunggu baki di daerah Tumpat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas program rasmi di sini.
Menurut beliau, tindakan berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha berterusan pihak polis bersama agensi keselamatan lain bagi memperketat kawalan sempadan dan mengekang kegiatan penyeludupan.