Kawasan berhampiran Bukit Bendera terbakar

Foto JBPM

GEORGE TOWN, 8 Februari -Kawasan seluas kira-kira satu ekar di kaki Bukit Bendera, Jalan Air Itam, Ayer Itam dilaporkan terbakar, petang tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • JBPM mengawal kebakaran pukul 4.46 petang selepas operasi pemadaman bermula.
  • Operasi menggunakan fire beater, jet shooter dan direct attack dengan relay pumping.
  • Bantuan dari beberapa BBP dan pasukan bomba sukarela melancarkan operasi pemadaman.
  • Tiada mangsa terlibat; orang ramai dinasihatkan elak aktiviti berisiko semasa cuaca panas dan kering.

Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamatan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis, pihaknya berjaya mengawal kebakaran itu pukul 4.46 petang.

Pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada 3.41 petang, sebelum jentera pertama dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Paya Terubong tiba di lokasi lima minit kemudian.

“Kebakaran melibatkan kawasan hutan berbukit dan memerlukan tindakan pemadaman berperingkat bagi mengelakkan api terus merebak.

“Operasi pemadaman dijalankan menggunakan peralatan ‘fire beater’, ‘jet shooter’ serta kaedah serangan terus atau direct attack dengan sistem relay pumping,” katanya menerusi satu kenyataan.

Kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya pada pukul 8.05 malam sebelum kerja-kerja ‘overhaul’ dijalankan bagi memastikan tiada sisa api.

Operasi itiuturut dibantu anggota dan jentera dari BBP Jalan Lebuh Pantai, PayaSeri Balik Pulau serta Bayan Baru, selain penglibatan Pasukan Bomba Sukarela Bukit Bendera, Mount Eskine dan Paya Terubong.

Tiada mangsa dilaporkan terlibat dan keadaan di lokasi disahkan selamat sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada pukul 8.30 malam.

JBPM menasihatkan orang ramai agar lebih berwaspada dan tidak melakukan sebarang aktiviti yang boleh mencetuskan kebakaran, khususnya di kawasan hutan dan bukit ketika cuaca panas dan kering.