
KEPALA BATAS, 5 Februari– Seorang anggota tentera putus kaki kanan selepas motosikal yang ditungganginya terbabit kemalangan dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di Jalan Pinang Jaya menghala ke Jalan Bukit Pinang, Kepala Batas, pada Rabu (4 Februari).
- Pemandu pacuan empat roda cuai buat pusingan U di laluan bertentangan selepas membuang sampah, menyebabkan kemalangan.
- Anggota tentera cedera parah; kaki kanan putus dari bahagian lutut dan dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah.
- Kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987; pemilik kenderaan disaman kerana benarkan pemandu tanpa lesen.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Syed Basri Syed Ali menerusi kenyataan berkata pemandu kenderaan itu dilapor cuai dan tidak berhati-hati ketika membuat pusingan “U” di laluan bertentangan.
Siasatan awal mendapati kemalangan yang berlaku kira-kira pukul 2.30 petang itu dipercayai berpunca apabila pemandu berusia 30 tahun membuat pusingan U selepas membuang sampah ke dalam tong di tepi jalan.
“Motosikal yang ditunggang mangsa melanggar bahagian kiri hadapan kenderaan pacuan empat roda berkenaan dari arah Padang Kunyit menuju ke Jalan Bukit Pinang.”
“Anggota tentera yang bertugas di Kem Tentera Port Dickson, Negeri Sembilan itu dilapor cedera parah,” kata kenyataan itu.
Mangsa dikejarkan ke Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar (HSB) bagi tujuan rawatan dan disahkan parah apabila kaki kanan putus dari bahagian lutut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Dalam pada itu, pemilik kenderaan pacuan empat roda tersebut turut disaman atas kesalahan membenarkan individu yang tidak mempunyai lesen, memandu kenderaannya.