
KUALA LUMPUR, 4 Februari- Kawasan Nunukan berhampiran sempadan Sabah-Kalimantan tidak boleh dianggap milik mana-mana negara kerana status pemilikan tanah itu tertakluk kepada rundingan dan “sempadan yang belum dimuktamadkan” iaitu Kawasan Masalah Sempadan Tertangguh (OBP).
- Kawasan OBP di Nunukan bukan milik mana-mana negara kerana statusnya rundingan dan sempadan belum dimuktamadkan.
- Rekod sejak 1919 menunjukkan kawasan itu tidak pernah disahkan atau dituntut sebagai wilayah Malaysia.
- Rundingan sempadan Malaysia-Indonesia berjalan sejak 1977 dan diselesaikan secara berperingkat termasuk beberapa isu sensitif.
- Kerajaan menolak dakwaan menyerahkan Ambalat dan menegur pihak yang membuat tuduhan tanpa rujuk fakta serta menghina pegawai terlibat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan, berdasarkan rekod seawal 1919, kawasan berkenaan tidak pernah disahkan milik Malaysia dan tidak pernah dituntut sebagai wilayah negara.
Tambah beliau, rundingan persempadanan Malaysia-Indonesia masih berjalan dan melibatkan beberapa perkara sensitif yang belum dimuktamadkan, antaranya isu lima kawasan sempadan darat, kawasan intertidal di sektor Sabah-Kalimantan Utara serta empat kawasan OBP di sektor Sarawak-Kalimantan Barat.
“Kawasan OPB sebelum ini tidak boleh dianggap sebagai kawasan milik mana-mana negara. Kerana kawasan itu merupakan kawasan rundingan dan penentuan sempadan yang masih belum dimuktamadkan sejak dulu lagi,” katanya pada Sesi Penerangan Khas mengenai isu jajaran sempadan Malaysia-Indonesia di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata proses rundingan dan pengukuran sempadan itu telah berjalan selama 47 tahun sejak 1977 dan diselesaikan berperingkat.
Pada masa sama, Perdana Menteri menolak dakwaan kerajaan telah menyerahkan kawasan Ambalat, sambil menegaskan perkara itu belum dimuktamadkan dan menyifatkan tuduhan berkenaan dibuat tanpa merujuk fakta serta data yang tepat.
“Saya nak jelaskan, seperti tohmahan sebelum ini bahawa kita sudah menyerahkan Ambalat, sedangkan hal itu belum dimuktamadkan.
“Jadi sebaiknya kerana saya telah bentangkan dengan fakta dan peta, teliti semula… ada bahagian yang belum dimuktamadkan dan ada yang sudah,” katanya.
Dalam masa sama, beliau berkata kerajaan tidak dapat menerima kenyataan sesetengah pihak yang disifatkan menghina usaha negara termasuk pengorbanan pegawai terlibat dalam melaksanakan tugasan lapangan bagi menyelesaikan isu persempadanan dengan negara jiran berkenaan.
“Kita harus menggunakan kesempatan ini juga untuk mengucapkan penghargaan setinggi-tingginya kepada pegawai-pegawai di bahagian hal ehwal persempadanan, topografi, Jabatan Peguam Negara, pemetaan serta anggota tentera yang terpaksa meredah hutan belantara bagi memastikan peta itu dapat dimuktamadkan.
“Jadi saya harap, walaupun pembangkang memilih untuk tidak menyatakan penghargaan dan terima kasih kepada pegawai terlibat…tidak perlulah mengeluarkan kenyataan biadab dan menghina. Jika tidak tahu (mengenai sesuatu isu) bertanyalah dan jangan maki hamun,” katanya.